Sebahagian daripada kira-kira 5,000 paket minyak masak satu kilogram bertaburan di atas jalan selepas lori membawa muatan berkenaan terbabas di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Kandang, Melaka, pagi tadi.

MELAKA – Beberapa pengguna jalan raya hanya mampu ‘termenung’ melihat ribuan minyak masak peket satu kilogram bertaburan di atas jalan selepas lori membawa muatan berkenaan terbabas di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Kandang di sini pagi tadi.

Kejadian kira-kira 11. 40 pagi turut menarik perhatian orang ramai yang berhenti seketika untuk melihat kira-kira 5,000 peket minyak masak yang bertaburan di atas jalan raya.

Difahamkan, pemandu lori berkenaan telah meminta orang ramai supaya tidak mengambil minyak masak yang bertaburan dan sebahagiannya masih boleh diselamatkan.

Lori terbabit dikatakan membawa kira-kira 5,000 peket minyak masak sebelum terbabas menyebabkan kira-kira 1,000 paket pecah dan bertaburan di atas jalan.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Temu digerakkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati berlaku tumpahan minyak masak di atas jalan akibat kemalangan melibatkan sebuah lori yang terbabas namun tiada mangsa terlibat.

“Operasi pembersihan segera dijalankan berikutan longgokan kotak minyak masak yang tumpah mengganggu lalu lintas dan berpotensi membahayakan pengguna jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Operasi yang turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya dikawal pada jam 2 petang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast