Prof Madya Dr Salawati Mat Basir

MELAKA – Malaysia berisiko berdepan tuntutan hak yang lebih besar termasuk kewarganegaraan daripada komuniti Rohingya sekiranya isu pelarian itu dibiarkan berlarutan selepas lebih 50 tahun bertapak di negara ini.

Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Salawati Mat Basir mengakui kebimbangan itu bukan lagi bersifat teori semata-mata.

Menurutnya, kesan selepas lebih 50 tahun menyaksikan jumlah etnik Myanmar itu di negara ini terus membina keluarga, memasuki pasaran pekerjaan dan menjadi sebahagian daripada struktur ekonomi negara.

“Anak dia (Rohingya) satu family 10 orang, sembilan orang, tujuh orang. Rakyat Malaysia anak seorang, dua orang (jadi) lama-lama nanti, kita akan guna tenaga dialah.

“Bila dia sudah ramai, dia akan masuk dominasi sektor buruh dan sebagainya. Di situlah hak dia untuk minta sebagai warganegara  walaupun kita cakap tidak. International law can prove that. It will happen,”katanya menerusi Podcast Bawa Otak terbitan UKM Pakarunding baru-baru ini.

Salawati berkata, ramai melihat isu Rohingya hanya dari sudut kemanusiaan namun kurang membincangkan implikasi jangka panjang apabila sesuatu komuniti telah berada terlalu lama dalam sesebuah negara seperti di Malaysia

Tegasnya, faktor generasi, asimilasi dan kemampuan menyesuaikan diri dengan masyarakat setempat sering menjadi antara perkara yang dibahaskan dalam konteks undang-undang antarabangsa.

“Dalam undang-undang antarabangsa, ada syarat-syarat dia. Bila sudah terlalu lama bergenerasi, kemudian mereka boleh berasimilasi. Mereka boleh bertutur. Mereka boleh berpakaian. Mereka boleh macam-macam.

“Walaupun kita kata, kita tak nak tapi kena faham apa undang-undang antarabangsa kata dan apa peruntukan yang ada. Jadi tak mustahil satu hari nanti dia kata, kami sudah boleh cakap Melayu. Lebih baik daripada setengah orang yang bukan Melayu di Malaysia.

We can speak better than you. Kita boleh buat itu, kita boleh buat ini. Kita pegang konsesi sayur-sayur semua. Apa yang nak cakap masa itu?” soalnya.

Beliau turut mendakwa kehadiran Rohingya di Malaysia bukan isu baharu kerana sebahagian daripada mereka telah berada di negara ini sejak beberapa dekad lalu.

“Kesabaran ini sudah lama sangat. Berpuluh tahun. Dia datang bukan tahun 2002, bukan tahun 2017 pun. Dia sudah datang sejak penghujung 1970-an. Maknanya, ada yang sudah tiga generasi berada di sini,” katanya.

Tegas Salawati, kerajaan tidak boleh terus bergantung kepada pendekatan sementara atau sekadar memberi jaminan bahawa isu itu terkawal tanpa menjelaskan penyelesaian jangka panjang.

“Itu sebab pada saya, Rohingya ini, you nak cakap apa sebenarnya? Jalan yang paling baik, tutup sempadan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast