KUALA LUMPUR – Pemindahan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) yang kini menjadi agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) merupakan satu pengiktirafan kepada Kementerian Ekonomi.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, langkah itu juga dilihat dapat membuka peluang luas kepada TERAJU untuk merealisasikan agenda Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Pada masa sama kata beliau, kedudukan TERAJU dapat diperkukuhkan lagi sekali gus memperbanyakan kejayaan dan meningkatkan kemajuan agensi tersebut.
“Ini merupakan satu pengiktirafan kepada Kementerian Ekonomi yang telah menyusun fokus TERAJU dalam tempoh dua tiga tahun ini.
“Kita mesti mengakui usaha bekas menterinya, Datuk Seri Rafizi Ramli yang meletak TERAJU dalam mengenal pasti syarikat Bumiputera generasi baharu berpotensi tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyenaraian Elsa Berhad di Pasaran Ace Bursa Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan TERAJU yang dipantau Kementerian Ekonomi kini dipindahkan menjadi agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Beliau berkata, perkara ini dipersetujui sewaktu Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) Bilangan 2 Tahun 2026 yang dipengerusikan beliau hari ini, dengan tujuan untuk memantapkan pemantauan program pembangunan Bumiputera, khususnya inisiatif di bawah PuTERA35.
Langkah itu, kata beliau kesinambungan kepada usaha pemerkasaan institusi Bumiputera yang dimulakan melalui pemusatan Pelaburan Hartanah Bumiputera (PHB) dan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB).

Mengulas lanjut, Akmal Nasir berkata, TERAJU menyasarkan sehingga 20 syarikat bumiputera generasi baharu berpotensi tinggi dikenal pasti untuk dibimbing ke arah penyenaraian di Pasaran ACE dan Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Jelas beliau, inisiatif itu selaras dengan agenda PuTERA35 di mana syarikat terbabit akan melalui proses pembangunan berstruktur bagi meningkatkan keupayaan perniagaan, memperkukuh tadbir urus korporat dan memenuhi keperluan penyenaraian.
“Melangkah ke hadapan, hala tujunya telah ditetapkan dengan jelas, dengan program utama seperti XCELERATE dan Dana Pengambilalihan Strategik Bumiputera (BSAF) telah diwujudkan.
“Mulai tahun ini, tumpuan akan diberikan kepada pelaksanaan di mana TERAJU menyasarkan untuk melahirkan 20 syarikat bumiputera senaraian awam dan saya berharap ia akan terus fokus dalam memacu agenda (PuTERA35),” katanya. – MalaysiaGazette

















