KUALA LUMPUR – Sektor pelancongan domestik Malaysia terus mencatat prestasi memberangsangkan apabila jumlah perbelanjaan pelawat domestik meningkat 13.6 peratus kepada RM121.3 bilion pada tahun 2025 berbanding RM106.7 bilion pada tahun sebelumnya.
Peningkatan itu didorong oleh pertumbuhan perbelanjaan kedua-dua kategori pelawat iaitu pelancong dan pelawat harian yang masing-masing meningkat 14.6 peratus dan 12.2 peratus.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, perbelanjaan pelancong kekal menjadi penyumbang terbesar dengan menyumbang 59.5 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan pelawat domestik.
“Prestasi positif ini turut disokong oleh peningkatan jumlah pelawat domestik sebanyak 11.5 peratus kepada 290.1 juta orang pada tahun 2025 berbanding 260.1 juta orang pada 2024.
“Purata tempoh penginapan juga meningkat kepada 2.56 malam berbanding 2.49 malam sebelumnya, mencerminkan kecenderungan rakyat untuk melancong dalam negara dan tinggal lebih lama di setiap destinasi,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, prestasi kukuh sektor itu disumbangkan oleh peningkatan perjalanan sempena musim perayaan utama seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Krismas, selain cuti persekolahan.
Kempen Tahun Melawat Negeri di beberapa negeri, sambutan Pesta Kaamatan di Sabah, Gawai Dayak di Sarawak serta penganjuran konsert berskala besar, festival, pameran dan kejohanan sukan turut merangsang aktiviti pelancongan domestik.
Selain itu, peranan Malaysia sebagai tuan rumah kepada beberapa mesyuarat ASEAN dan program berkaitan telah meningkatkan perjalanan bagi tujuan perniagaan dan acara, sekali gus menjana permintaan terhadap perkhidmatan penginapan, pengangkutan dan sektor pelancongan lain.
Dari segi corak perjalanan, sebanyak 97.5 peratus pelawat domestik masih memilih pengangkutan darat sebagai mod perjalanan utama.
Rumah saudara-mara dan rakan kekal menjadi pilihan penginapan paling popular dengan 56.2 peratus daripada jumlah pelancong, namun penggunaan penginapan berbayar terus meningkat kepada 43.8 peratus berbanding 39.6 peratus pada 2024.
Hotel menjadi pilihan utama dalam kategori tersebut dengan sumbangan 23.1 peratus.
Berdasarkan tujuan perjalanan, aktiviti melawat saudara-mara dan rakan-rakan mendahului dengan 35.6 peratus daripada keseluruhan perjalanan domestik, diikuti membeli-belah sebanyak 24.6 peratus.
Seiring dengan trend itu, perbelanjaan membeli-belah menjadi komponen terbesar dengan sumbangan 36.9 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan, diikuti makanan dan minuman (16.1 peratus) serta bahan api kenderaan (13.5 peratus).
Dari segi destinasi, Selangor kekal sebagai negeri paling banyak menerima kunjungan pelawat domestik dengan 36.4 juta pelawat, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (35.1 juta) dan Perak (23.6 juta).
Secara keseluruhan, DOSM menyifatkan prestasi sektor pelancongan domestik pada 2025 terus berkembang kukuh hasil peningkatan bilangan pelawat, perbelanjaan dan tempoh penginapan, sekali gus mengukuhkan peranan sektor itu sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan setempat. – MalaysiaGazette
















