KULAI – Kerajaan menambah mod pengangkutan awam baharu dengan melancarkan Shuttle Selatan membabitkan dua laluan dari Kulai ke Johor Bahru (JB) dan Kempas Baru ke Pasir Gudang dalam usaha mengurangkan kesesakan trafik.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkhidmatan awam itu dapat membantu mengurangkan kebergantungan kepada pengangkutan sendiri.
“Kita mulakan Shuttle Selatan ini untuk dua laluan utama iaitu Kulai ke JB Sentral balik ke Kulai dan Kempas Baru ke Pasir Gudang balik ke Kempas Baru.
“Ini adalah satu perkhidmatan tren yang membolehkan penduduk di sekitar Kulai boleh menggunakan tren ini setiap hari untuk sampai ke JB Sentral.,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen Kereta Api Kulai di sini hari ini.
Menurut Anthoy, perkhidmatan berkenaan adalah satu langkah penyuraian trafik untuk perkhidmatan tren elektrik (ETS) di bandar raya ini.
Jelasnya, ia kerana apabila ETS siap, orang ramai yang sampai ke JB Sentral di sini boleh terus ke Stesen Bukit Cagar ETS hanya berjalan kaki dalam lingkungan 200 meter.
Jelasnya, bagi dua tren pertama yang akan memulakan operasi tidak membabitkan sebarang peruntukan memandangkan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menggunakan tren sedia ada.
Bagaimanapun, kata beliau, kementeriannya mengeluarkan peruntukan antara RM11 juta hingga RM15 juta setahun bagi membantu kos operasi perkhidmatan berkenaan.
“Untuk yang kita lancarkan hari ini, sebenarnya belum membabitkan aset baharu. Tren ini kalau dulu, kita biasanya menggunakannya untuk laluan Johor Bahru sampai ke Gemas. Jadi, daripada segi aset, tak perlu apa-apa aset tambahan.
“Tetapi untuk kita mengaktifkan perkhidmatan ini, dia ada kos operasi seperti diesel, kakitangan dan sebagainya. Kita jangkakan bahawa ada kekurangan kerana memang tak dapat kita tampung kos operasi hanya dengan tiket,” katanya.
Katanya, ada kekurangan yang perlu ditampung oleh KTMB.
“Kalau kita tak bantu KTMB, maka mereka punya kerugian akan menjadi lebih besar dan memang KTMB tak mampu untuk menampung kerugian yang lebih besar.
“Kita (Kementerian Pengangkutan) akan memperuntukkan antara RM11 juta hingga RM15 juta setahun untuk mengoperasikan perkhidmatan ini antara Kulai ke Johor Bahru. Jadi sementara ini, kos yang diperlukan adalah antara RM11 hingga RM15 juta,” jelasnya.
Anthony berkata, bagi pelaburan masa depan, pihaknya dalam usaha menambah 10 lagi set tren bagi perkhidmatan ke selatan membabitkan nilai RM200 juta.
Pelaksanaan Shuttle Selatan hari ini adalah kerjasama strategik antara Kementerian tersebut, KTMB dan Perbadanan Aset Keretapi.
Pada majlis itu, sebanyak 3,000 Kad Madani Shuttle Selatan diedarkan dengan nilai RM50 setiap kad, namun penggunaannya adalah percuma selama enam bulan.
Tambang perkhidmatan itu bagi laluan Kulai ke JB Sentral adalah sebanyak RM10.20 yang mengambil masa kira-kira 30 minit dengan 10 trip perjalanan ulang-alik setiap hari.
Anthony menambah, sekiranya sambutan baik, trip perjalanan dan laluan perkhidmatan itu akan ditambah di masa akan datang.- MalaysiaGazette
















