BATU PAHAT – Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyasarkan program MyLesen B2 selesai selewat-lewatnya pada Julai ini.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, ia bertujuan memastikan lebih ramai golongan belia memiliki lesen memandu yang sah.
“Program ini adalah inisiatif strategik kerajaan untuk memperluas akses kepada pelesenan memandu yang sah, selamat dan berstruktur khususnya kepada golongan belia serta mereka yang berdepan kekangan kewangan.
“Bagi tahun ini, MyLesen B2 menerima peruntukan RM10.5 juta dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 30,000 peserta di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Pemerkasaan Belia, Program MyLesen B2 dan MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yong Peng di sini hari ini.
Kata Anthony, sasaran agar golongan belia dapat mematuhi undang-undang sedia ada ketika memandu atau menunggang motosikal.
Program MyB2S yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan melibatkan 60,000 pelajar di seluruh negara dengan peruntukan RM18.5 juta manakala Johor mencatat penyertaan tertinggi, iaitu 8,000 pelajar.
Tambahnya, program itu membolehkan pelajar memperoleh Lesen Belajar Memandu (LDL) sebelum menjalani latihan serta ujian memandu motosikal secara berperingkat-peringkat bermula dengan fasa amali.- MalaysiaGazette
















