KUALA LUMPUR – Sentimen perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia bagi separuh pertama 2026 menunjukkan sedikit penyederhanaan susulan perubahan dalam persekitaran ekonomi semasa.
Namun prospek operasi perniagaan kekal berdaya tahan dengan tumpuan yang semakin meningkat terhadap pendigitalan, peningkatan produktiviti dan pengembangan pasaran, menurut Tinjauan Indeks Sentimen PKS Separuh Pertama 2026 yang diumumkan oleh SME Bank, anak syarikat Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB).
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Samad Majid Zain berkata, sebagai tulang belakang ekonomi negara, PMKS perlu terus memperkukuh daya tahan, produktiviti dan daya saing bagi menghadapi persekitaran perniagaan yang sentiasa berubah.
“Semakin banyak perniagaan memberi penekanan kepada pendigitalan dan kecekapan operasi, mencerminkan peralihan ke arah pembinaan perusahaan yang lebih kukuh, mampan dan bersedia menghadapi masa hadapan.
“Usaha memperkukuh daya tahan, daya saing dan kemampanan jangka panjang PMKS Malaysia terus menjadi teras mandat pembangunan SME Bank melalui penyelesaian pembiayaan dan inisiatif melangkaui pembiayaan,” katanya.
Beliau berkata, komitmen itu turut diterjemahkan menerusi hampir RM2 bilion inisiatif strategik di bawah Belanjawan 2026, Program Bantuan SME Bank serta penyertaan dalam Kemudahan Bantuan Penstabilan PKS bernilai RM5 bilion yang disediakan oleh Bank Negara Malaysia.
Tinjauan itu buat pertama kali mendapati pendigitalan mengatasi pengembangan perniagaan dan pemasaran sebagai keutamaan utama PMKS, dengan 51 peratus responden memberi tumpuan kepada pelaburan teknologi bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi.
Dalam masa sama, 51 peratus PMKS mengenal pasti pembiayaan modal kerja sebagai keperluan pembiayaan utama mereka.
Bagaimanapun, tekanan kos masih menjadi cabaran utama apabila kenaikan harga bahan mentah, kos pengangkutan, logistik dan tenaga kerja terus memberi kesan kepada operasi perniagaan.
Walaupun begitu, kedudukan aliran tunai menunjukkan peningkatan apabila 70 peratus PMKS melaporkan mempunyai simpanan tunai melebihi enam bulan, meskipun perusahaan mikro masih berdepan kekangan kewangan.
Ketua Pemantauan Makro dan Analitik Kumpulan BPMB, Mazlina Abdul Rahman berkata, dapatan tinjauan membuktikan PMKS terus memberi tumpuan kepada pengukuhan asas perniagaan melalui pendigitalan, peningkatan produktiviti dan kepelbagaian pasaran.
“Banyak perniagaan kini meneroka peluang untuk mempelbagaikan sumber pendapatan serta menembusi pasaran serantau dan antarabangsa sebagai strategi pertumbuhan mampan,” katanya.
Menurut beliau, perniagaan berorientasikan eksport menunjukkan prospek yang lebih positif apabila 55 peratus menjangkakan pertumbuhan jualan berbanding hanya 38 peratus syarikat yang memberi tumpuan kepada pasaran domestik.
Selain itu, 61 peratus PMKS berhasrat mengekalkan tenaga kerja sedia ada sambil terus melabur dalam penambahbaikan operasi, sekali gus mencerminkan komitmen mereka untuk memperkukuh daya saing dan pertumbuhan jangka panjang.
Tinjauan yang dijalankan antara Januari hingga April 2026 itu melibatkan 1,803 perniagaan daripada 40 sektor di seluruh negara dan memberikan gambaran mengenai cabaran, keutamaan serta strategi yang dijangka membentuk landskap PMKS dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang. – MalaysiaGazette
















