Fenomena El Nino kini melanda Australia. Sumber: Explore Australia

MELBOURNE – Biro Meteorologi Australia (BoM) mengumumkan bahawa fenomena cuaca El Nino yang kuat kini sedang berlaku di kawasan tropika Lautan Pasifik.

Dalam kemas kini yang dikeluarkan pada malam Selasa, BoM memaklumkan fenomena El Nino Southern Oscillation (ENSO) kini berada dalam fasa El Nino, didorong oleh pemanasan suhu laut berhampiran garisan khatulistiwa yang berupaya memberi kesan besar terhadap corak cuaca di seluruh dunia.

“Sebahagian besar model ramalan menunjukkan fenomena kali ini berkemungkinan kuat hingga sangat kuat,” menurut BoM dalam satu kenyataan.

Menurut agensi itu, kejadian El Nino lazimnya dikaitkan dengan pengurangan taburan hujan pada musim sejuk dan musim bunga di Australia, khususnya di bahagian timur negara itu, selain menyebabkan suhu siang hari yang lebih tinggi di kawasan selatan.

Fenomena El Nino terdahulu yang bermula pada 2023 dan berakhir pada 2024 menyaksikan Australia mengalami tempoh tiga bulan paling kering dalam rekod, iaitu dari Ogos hingga Oktober 2023.

BoM berkata, ramalan semasa menunjukkan keadaan El Nino dijangka berterusan sehingga separuh kedua tahun 2026, namun kesannya sukar diramalkan berikutan pengaruh perubahan iklim global.

“Keamatan sesuatu fenomena El Nino tidak semestinya sepadan dengan tahap impaknya di Australia. Fenomena yang lebih lemah boleh membawa kesan besar, manakala fenomena yang lebih kuat mungkin tidak memberi impak yang sama,” menurut kenyataan itu.

BoM turut menjelaskan, dalam iklim dunia yang semakin panas, corak cuaca pada masa lalu tidak lagi boleh dijadikan petunjuk yang boleh dipercayai untuk meramalkan kesan pada masa hadapan.

Selain itu, peluang berlakunya keadaan cuaca lebih kering di Australia dijangka meningkat sekiranya fenomena Indian Ocean Dipole (IOD) positif terbentuk seperti yang ditunjukkan oleh beberapa model ramalan cuaca semasa. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast