FRANKFURT – Pengeluar automotif Jerman, BMW menurunkan sasaran prestasi kewangannya bagi tahun 2026 susulan ketidaktentuan yang berpunca daripada perang di Asia Barat serta kemerosotan perniagaan di pasaran utama China.
Pengumuman itu merupakan tamparan terbaharu kepada industri automotif Jerman yang sedang bergelut dan memberi kesan besar kepada BMW, yang sebelum ini dilihat lebih mampu mengharungi cabaran industri berbanding pesaingnya seperti Volkswagen dan Mercedes-Benz.
Syarikat yang berpangkalan di Munich itu kini menjangkakan keuntungan sebelum cukai akan mengalami penyusutan ketara tahun ini, berbanding unjuran terdahulu yang hanya menjangkakan penurunan sederhana.
BMW turut meramalkan penghantaran kenderaan akan mencatat sedikit penurunan, berbanding jangkaan sebelumnya yang menjangkakan jumlah penghantaran kekal stabil.
Selain itu, margin keuntungan bahagian automotifnya, yang menjadi petunjuk penting keseluruhan syarikat, dijangka berada antara satu hingga tiga peratus, lebih rendah daripada unjuran awal iaitu empat hingga enam peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif BMW, Milan Nedeljkovic berkata, syarikat akan menyesuaikan struktur dan proses sedia ada bagi menghadapi kemerosotan mendadak keadaan pasaran.
“Menjadi tanggungjawab kami sebagai sebuah syarikat untuk memperhebat dan mempercepatkan langkah-langkah yang sedang dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Walaupun tidak memperincikan langkah tersebut, BMW memaklumkan usaha pengurangan kos dijangka memberi kesan kepada pendapatan syarikat pada separuh kedua tahun 2026.
Menjelaskan semakan semula sasaran itu, BMW berkata, keadaan pasaran di China semakin merosot pada suku kedua tahun ini, khususnya bagi kenderaan bukan elektrik, susulan persaingan sengit daripada pengeluar tempatan dan kelembapan permintaan.
Menurut syarikat itu, peningkatan jualan di Eropah dan Amerika Syarikat masih tidak mencukupi untuk mengimbangi penyusutan jualan di China dan rantau Asia Pasifik.
BMW turut menyatakan, kesan konflik melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran adalah lebih buruk daripada jangkaan asal.
Harga tenaga yang tinggi serta ketidaktentuan global juga dikatakan menjejaskan sentimen pengguna di seluruh dunia.
Minggu ini, Amerika Syarikat dan Iran mengumumkan perjanjian bagi menamatkan konflik, sekali gus membolehkan kapal-kapal kembali melalui Selat Hormuz, laluan strategik penting bagi perdagangan tenaga dunia.
BMW berjaya menghadapi impak tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat dengan lebih baik berbanding pesaingnya, sebahagiannya kerana kilang terbesar syarikat itu di dunia terletak di negeri South Carolina.
Keuntungan BMW, yang turut memiliki jenama Mini dan Rolls-Royce, juga kekal lebih kukuh sepanjang 2025 berbanding Volkswagen dan Mercedes-Benz. –
Agensi
















