Tular video memaparkan seorang lelaki memukul seorang amah dipercayai di Taman Data, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Dua pasangan suami isteri yang sebelum ini direman sehari susulan penularan video memaparkan insiden memukul seorang wanita pembantu, ditahan semula awal pagi tadi.

Empat suspek berusia antara 30 hingga 34 tahun itu ditahan pukul 1.30 pagi tadi, bagi membantu siasatan

Penahan itu dibuat selepas dua lagi wanita warga asing dipercayai bekas pembantu rumah kepada suspek berkenaan membuat laporan polis, semalam.

Semalam, dua mangsa itu yang sebelum ini dicari pihak polis bersama-sama pembantu rumah dalam video tular berkenaan dibawa dari Kuala Lumpur oleh pihak Kedutaan Indonesia untuk membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dan IPD Johor Bahru Utara.

Peguam yang mewakili Kedutaan Indonesia, Mohd Daud Ismail hadir ke mahkamah di sini pagi ini sebagai peguam pemerhati untuk proses permohonan reman terhadap semua suspek.

Beliau berkata, Majistret Chai Ing Hien membenarkan tempoh tahanan reman ke atas semua suspek selama empat hari berkuat kuasa hari ini bagi kes di bawah siasatan IPD Johor Bahru Selatan membabitkan dua mangsa.

“Tempoh reman itu dibenarkan bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya ketika dihubungi.

Pada 14 Jun lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, dua pasangan suami isteri itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung video yang tular mencederakan pembantu rumah di kediaman keluarga yang didiami semua suspek.

Beliau dilaporkan berkata, video yang tular itu memaparkan seorang mangsa wanita yang juga pembantu rumah warga asing dipukul dua lelaki dan dua wanita warga tempatan dipercayai berlaku di sebuah rumah sekitar Taman Johor, Tampoi di sini.

Katanya, polis turut merampas telefon bimbit, pakaian suspek, seunit kamera litar tertutup (CCTV) dan dua pasport wanita warga asing dipercayai pembantu rumah kepada salah satu pasangan.

Permohonan reman ke atas empat suspek kemudian dipohon di Mahkamah Johor Bahru dan reman dibenarkan selama sehari.

Ab Rahaman berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian dalam video yang tular itu dipercayai berlaku pada tahun lalu, namun video terbabit baharu sahaja ditularkan di media sosial, 13 Jun lalu.

Polis turut mengesan dua lagi wanita yang juga pembantu rumah kepada suspek bagi membantu siasatan kerana dipercayai turut menjadi antara mangsa penderaan suspek pada tahun ini, namun semua mangsa berusia 20-an ketika itu dipercayai sudah melarikan diri, tetapi masih berada di dalam negara.

Pada hari yang sama, Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Johor Bahru dalam satu kenyataan memaklumkan sudah memberi perlindungan dan bantuan kepada dua wanita warga Indonesia yang disyaki menjadi mangsa penderaan fizikal majikan mereka di negeri ini.

KJRI memaklumkan mendapat maklumat berhubung perkara itu pada 13 Jun lalu daripada seorang warga Indonesia, yang dikenal pasti sebagai YY, yang melaporkan keganasan fizikal terhadapnya dan dua warga Indonesia lain, YA dan SH, yang bekerja sebagai pembantu rumah di Johor.

Berdasarkan maklumat yang diterima, ketiga-tiga wanita itu didakwa kerap diseksa majikan ketika bekerja.

Kes terbabit turut disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah terhadap mana-mana individu dengan niat untuk mencabul kehormatannya.

Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian untuk menyebarkan kandungan bersifat sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya atau mengganggu orang lain.

Pada masa sama, siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Passport 1966 kerana menyimpan atau memiliki pasport atau dokumen perjalanan orang lain tanpa sebarang kebenaran atau kuasa yang sah.

Pada 13 Jun lalu, portal ini melaporkan empat individu mengasari seorang pembantu rumah selepas didakwa memukul anak majikannya yang masih kecil dan video berkenaan tular di media sosial, mencetus pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.

Video terbabit dipercayai dirakam di kediaman majikan mangsa, dengan seorang lelaki dipercayai majikan dilihat menampar dan menumbuk wanita itu sehingga kedengaran suara tangisan.

Selain majikan, tiga lagi individu termasuk dua wanita secara bergilir-gilir memarahi sambil meninggikan suara serta memaki mangsa.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast