LIPIS – Perjalanan malam empat individu dari Kelantan ke Kuala Lumpur berakhir dengan tragedi apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori muatan durian di Kilometer 18, Jalan Lipis-Benta berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Benta, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 malam itu, pemandu kereta Perodua Axia, Ng See Jou, 47, dan seorang penumpang warga China disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama tiga lelaki warga China sedang dalam perjalanan dari Kelantan menuju ke Kuala Lumpur.
Menurutnya, sebuah lori yang dipandu lelaki tempatan berusia 37 tahun pula dalam perjalanan dari Raub ke Kelantan bagi menghantar muatan durian.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta tersebut dipercayai bertembung secara berhadapan dengan lori yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta dan seorang penumpang warga China meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Manakala dua lagi penumpang warga China di tempat duduk belakang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Lipis bagi mendapatkan rawatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan.
Dalam pada itu, Ismail menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu secara berhemah terutama ketika cuaca hujan dan keadaan jalan licin bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.03 malam sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Lipis bersama lapan anggota digerakkan ke lokasi.
Menerusi kenyataan, bomba memaklumkan pihaknya tiba di lokasi pada pukul 9.19 malam, pasukan mendapati kemalangan melibatkan sebuah Perodua Axia dan sebuah lori muatan.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang mangsa telah berjaya keluar sendiri manakala tiga lagi mangsa masih tersepit di dalam kenderaan.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit,” katanya.
Menurut beliau, semua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum dua daripadanya disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala dua mangsa yang cedera dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan. – MalaysiaGazette
















