MELAKA – Dua pekerja warga India cedera parah selepas terperangkap dalam runtuhan lif yang dipercayai terhempas dari tingkat tujuh ketika kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan di sebuah hotel di Jalan Syed Abdul Aziz, Melaka hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.55 pagi tadi itu, kedua-dua mangsa lelaki berusia 27 tahun dilaporkan berada di dalam ruang lif berkenaan.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

Gambar – Ihsan JBPM Melaka
“Pasukan bomba yang tiba kemudian mendapati dua mangsa masih terperangkap dalam runtuhan lif tersebut yang didakwa jatuh dari tingkat tujuh ketika kerja-kerja pembaikan lif sedang dilakukan.
“Operasi menyelamat dijalankan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum kedua-duanya berjaya dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi yang turut dibantu tiga petugas KKM dan dua anggota polis itu berjaya dikawal pada pukul 1 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya dua minit kemudian. – MalaysiaGazette
















