Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Radio Televisyen Malaysia (RTM) memohon maaf atas gangguan teknikal yang berlaku pada platform RTMKlik ketika siaran langsung separuh masa pertama perlawanan antara Perancis dan Senegal pada pukul 3 pagi tadi.

Menurut stesen televisyen itu, gangguan tersebut berpunca daripada masalah teknikal luar jangka yang menyebabkan sebahagian pengguna mengalami kesukaran untuk mengakses siaran secara lancar melalui RTMKlik.

Bagaimanapun, katanya, pasukan teknikal RTM bersama pihak penyedia teknologi telah mengambil tindakan bagi memulihkan perkhidmatan dengan kadar segera.

“RTM amat memahami kekecewaan para peminat sukan bola sepak yang menantikan perlawanan tersebut. Pihak kami amat menghargai kesabaran, sokongan dan maklum balas yang diberikan sepanjang tempoh gangguan berlaku.

“Sebagai penyiar rasmi kejohanan paling berprestij dunia ini, RTM sentiasa komited untuk memastikan pengalaman tontonan yang terbaik buat seluruh rakyat Malaysia,” katanya sambil menambah langkah-langkah pengukuhan infrastruktur dan sistem penyiaran digital dijalankan setiap masa bagi mengurangkan risiko gangguan teknikal daripada berulang.

Jelasnya, RTM sekali lagi memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan akan terus berusaha memastikan kelancaran siaran kesemua 104 perlawanan (94 siaran langsung, 10 siaran tertunda) Piala Dunia FIFA 2026 dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia dengan lebih lancar dan berkualiti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast