Mohd Asna Amin

KUALA LUMPUR – Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Mohd Asna Amin membidas Ahli Dewan Negara, Senator Dr RA Lingeshwaran susulan gesaannya supaya siasatan dijalankan berhubung poster tular berkaitan pendaftaran saudara baharu (mualaf) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Asna berkata, Malaysia merupakan sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan usaha dakwah kepada agama Islam sememangnya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Ini Malaysia, Islam agama rasmi dan dakwah kepada agama Islam memang mematuhi Perlembagaan. Jangan ‘besar kepala’ sampai nak ganggu kelebihan menganut agama Islam,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau mengulas gesaan Lingeshwaran yang sebelum ini meminta satu siasatan dijalankan berhubung poster yang tular di media sosial dan menyenaraikan beberapa manfaat kepada mahasiswa UPSI yang merupakan saudara baharu Islam, termasuk pengecualian yuran pengajian.

Sebelum ini, Lingeshwaran menegaskan institusi pengajian tinggi awam tidak sepatutnya dijadikan medium untuk menggalakkan penukaran agama kerana universiti milik kerajaan merupakan ruang yang perlu kekal neutral, inklusif dan menghormati kepelbagaian masyarakat Malaysia.

Beliau turut berpandangan, walaupun kebebasan beragama dan ruang untuk penyebaran ajaran Islam dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, ia perlu dilaksanakan secara beretika dan tidak melibatkan institusi pendidikan awam sebagai medium yang boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelajar bukan Islam serta keluarga mereka.

Isu itu tercetus selepas sebuah poster bertajuk ‘Pendaftaran Saudara Baharu (Mualaf)’ tular di media sosial dan didakwa menawarkan beberapa manfaat kepada pelajar yang memeluk Islam, termasuk pengecualian yuran pengajian.

Bagaimanapun, UPSI kemudian menjelaskan bahawa poster berkenaan tidak pernah dibentangkan untuk pertimbangan dan kelulusan pihak pengurusan universiti serta tidak pernah disebarkan melalui mana-mana saluran rasmi universiti.

Perdebatan mengenai isu berkenaan semakin hangat apabila beberapa pemimpin politik tampil memberikan pandangan berbeza berhubung peranan institusi pendidikan awam, kebebasan beragama dan usaha dakwah di negara ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast