Muhammad Adam Danish Mohd Anuar ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di di Kolam Menara Saujana Perdana, Sungai Buloh, semalam. Gambar: Ihsan JBPM

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 24 tahun maut selepas dipercayai tersedut dan lemas di dalam sebuah tangki air ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di Kolam Menara Saujana Perdana, Jalan Saujana Perdana 18, Bandar Saujana Perdana dekat Sungai Buloh, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.51 pagi itu, mangsa dilaporkan berada di atas tangki air sebelum dipercayai terjatuh atau tersedut ke dalam tangki berkenaan dan gagal menyelamatkan diri.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 11.51 pagi.

Menurut beliau, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya dikerahkan ke lokasi dan tiba pada pukul 12.17 tengah hari.

“Komander operasi melaporkan terdapat seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas tangki kolam menara ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan.

“Berdasarkan maklumat awal daripada pemanggil, mangsa dipercayai tersedut dan lemas di dalam tangki air tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, anggota bomba kemudiannya menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dari tangki berkenaan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan siasatan berhubung kejadian itu sedang dijalankan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast