Dr Zulkifli Hasan berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448/2026 di Masjid Putra, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 17 JUN 2026.

PUTRAJAYA –  Umat Islam di negara ini diseru merapatkan saf dan memadamkan segala bara permusuhan demi memperkukuh perpaduan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, umat Islam juga perlu memberi tumpuan kepada perkara yang mampu memperkukuh kesepaduan dan keharmonian masyarakat.

“Menginsafi takdir kepelbagaian yang melatari demografi negara kita, suka atau tidak, Malaysia ialah sebuah negara majmuk,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H/2026M.

Menurut beliau, Sahifah Madinah (Piagam Madinah) yang diasaskan oleh Nabi Muhammad SAW selepas peristiwa Hijrah merupakan contoh terbaik pembinaan masyarakat pelbagai kabilah dan agama yang disatukan atas dasar keadilan, tanggungjawab bersama serta kesetiaan kepada negara.

“Dalam konteks Malaysia, semangat ini diistilahkan sebagai kepelbagaian dalam bingkai kesatuan (al-wihdah fi itar al-tanawwu’ atau unity in diversity) yang menjadi panduan dalam memperkukuh hubungan antara kaum dan agama,” katanya.

Mengulas lanjut, Zulkifli menegaskan, perpecahan dan keretakan hubungan dalam kalangan umat Islam hanya akan membawa kepada pelbagai kesan buruk.

Tambah beliau, keadaan semasa negara yang turut menerima tempias krisis tenaga global menuntut rakyat bersatu hati bagi menghadapi cabaran mendatang.

Pada masa sama, beliau menyeru rakyat agar terus memberikan sokongan dan kerjasama kepada kerajaan dalam usaha memartabatkan umat Islam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast