Tan Sri Annuar Musa.

KUALA LUMPUR – Pas akan meneliti semula cadangan awal Perikatan Nasional (PN) dan parti-parti rakan untuk bertanding di kesemua 56 kawasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, kata Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa .

Malah katanya, keputusan muktamad dijangka dipertimbangkan di peringkat pusat minggu ini berdasarkan pelbagai faktor strategik termasuk persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Menurut beliau, walaupun pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen telah diselesaikan di peringkat negeri, keputusan akhir masih perlu dinilai semula oleh kepimpinan tertinggi gabungan.

“Hasil kajian semasa menunjukkan tiada mana-mana parti boleh terlalu yakin menguasai sokongan pengundi kerana majoriti rakyat masih belum menunjukkan kecenderungan politik mereka secara terbuka.

“Pada masa sama, tahap kekecewaan rakyat terhadap kerajaan ketika ini adalah tinggi dan keadaan itu dijangka memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH),” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Bagaimanapun Annuar menegaskan, faktor utama yang perlu diberi perhatian oleh PN, khususnya Pas ialah kesan terhadap dasar perjuangan parti yang mengutamakan muafakat serta penyatuan pengundi Melayu-Islam.

Katanya, agenda tersebut dilihat berdepan cabaran sekiranya keputusan politik yang diambil tidak selari dengan matlamat memperkukuh kesatuan umat dan kestabilan negara.

Sehubungan itu beliau berkata, perkara berkenaan akan diperhalusi oleh pucuk pimpinan Pas dalam mesyuarat yang dijadualkan berlangsung hari ini dengan mengambil kira semua aspek termasuk pelbagai senario politik menjelang PRU16.

“Keutamaan Pas adalah memastikan muafakat yang mampu membentuk kestabilan berteraskan orang Melayu dan Islam dalam konteks kebersamaan rakyat berbilang kaum di negara ini,” ujarnya.

Semmentara itu, dalam hantaran lain, Annuar berkata, tindakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menghadiri majlis anjuran Kerajaan Persekutuan bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di Johor merupakan pendirian yang tepat dan selaras dengan semangat federalisme yang diamalkan di negara ini.

Katanya, hubungan baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan perlu diteruskan tanpa mengira perbezaan politik demi kepentingan rakyat serta pembangunan negara.

“Perkara sama telah lama diamalkan oleh Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Menteri-Menteri Besar Kelantan sehingga kini.

“Begitu juga dengan menteri-menteri besar negeri lain yang mempunyai pendirian politik berbeza daripada kerajaan pusat,” katanya.

Annuar berkata, Malaysia mengamalkan sistem federalisme yang memberikan kuasa dan kedudukan tertentu kepada kerajaan negeri yang perlu dihormati oleh semua pihak.

Beliau turut menegaskan, sikap mendiskriminasi negeri atau berasa lebih besar hanya kerana memegang kuasa di peringkat pusat perlu dikikis bagi memastikan hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan kekal harmoni.

Tambahnya, pembentukan Malaysia sebagai sebuah persekutuan adalah hasil gabungan Sabah, Sarawak, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu serta Negeri-Negeri Selat.

“Justeru, perlu ada semangat timbal balik dan saling menghormati antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan. Hak negeri-negeri jangan sekali-kali diketepikan dan tidak boleh wujud sebarang bentuk diskriminasi,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast