KUALA LUMPUR – Rakyat Johor kini tidak lagi sekadar menjadi penonton politik sebaliknya mereka bakal menjadi hakim yang menilai calon pilihan raya berdasarkan prestasi, dasar, kemampuan dan integriti.
Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramaraj berkata, era kemenangan berasaskan sentimen semata-mata semakin mencabar.
Ini kerana era politik berteraskan kerja, keberhasilan dan penyelesaian sedang mengambil tempat.
”Dalam PRN Johor ini, persoalan besar bukan lagi siapa paling lantang bercakap tetapi siapa paling mampu bekerja untuk rakyat.
”PRN Johor Penentu Naratif Menuju PRU16,” katanya dalam hantaran di Facebook, malam ini.
Tambah beliau, rakyat semakin menolak politik kebencian, politik menyalahkan pihak lain serta permainan persepsi yang tidak menawarkan penyelesaian.
Tegas Ahli Majlis Pimpinan Keadilan Pusat itu, politik retorik tanpa pelaksanaan juga semakin hilang nilai.
Pengundi hari ini menurut beliau, semakin mengutamakan calon yang mempunyai orientasi perkhidmatan (service-oriented), mudah diakses, aktif membantu masyarakat serta mampu menjadi jambatan penyelesaian antara rakyat dan kerajaan.
Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 Jun ini sebagai hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor manakala hari mengundi adalah pada 11 Julai. -MalaysiaGazette
















