KUALA LUMPUR – Syarikat-syarikat India telah melabur lebih daripada AS$3 bilion (AS$1 = RM4.06) di Malaysia dan mewujudkan lebih 30,000 peluang pekerjaan secara langsung, mencerminkan hubungan ekonomi yang kukuh antara Malaysia dan India, menurut Konsortium Industri India di Malaysia (CIIM).
Pengerusi CIIM, Datuk Umang Sharma berkata pelaburan tersebut telah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi Malaysia dan menyerlahkan peranan yang semakin berkembang dimainkan oleh perniagaan India di negara ini.
Beliau berkata pertumbuhan pelaburan dan aktiviti perniagaan India di Malaysia turut disokong oleh penglibatan aktif B.N. Reddy, yang baru-baru ini menamatkan perkhidmatannya sebagai Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia.
“Sepanjang tempoh perkhidmatannya, B.N. Reddy sentiasa menjadi sumber galakan dan sokongan kepada komuniti perniagaan India di Malaysia serta kepada misi CIIM untuk memperkukuh hubungan ekonomi dan komersial antara kedua-dua negara,” katanya pada majlis makan malam perpisahan yang dianjurkan CIIM bagi meraikan Reddy dan isterinya, Lalita Devi, di sini baru-baru ini.
Majlis yang dihadiri lebih 150 tetamu itu menghimpunkan pegawai kanan kerajaan, anggota kor diplomatik, presiden dewan dan persatuan perniagaan, pemimpin industri, wakil media serta ahli-ahli CIIM.
Menggambarkan Reddy sebagai lebih daripada sekadar penaung CIIM, Sharma berkata beliau merupakan penasihat yang dipercayai, penyokong yang kuat, sahabat yang mudah didekati serta individu yang yakin bahawa perniagaan boleh menjadi pemangkin dalam mengukuhkan hubungan dua hala.
Hubungan Reddy dengan Malaysia menjangkau hampir dua dekad, apabila beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi India dari 2008 hingga 2011.
Semasa penempatan terdahulunya, beliau terlibat secara langsung dalam salah satu pencapaian paling penting dalam hubungan ekonomi dua hala, iaitu Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India (MICECA), yang menjadi asas kepada kerjasama perdagangan dan pelaburan yang lebih mendalam antara kedua-dua negara.
Sharma turut memuji peranan Reddy dalam membantu membina semula keyakinan dan memulihkan kepercayaan dalam hubungan Malaysia-India ketika berdepan tempoh mencabar menerusi kesabaran, kebijaksanaan, diplomasi yang berhemah serta usaha berterusan.
Di bawah tempoh perkhidmatan Reddy, Malaysia dan India telah meningkatkan hubungan mereka kepada Perkongsian Strategik Komprehensif, manakala beberapa siri lawatan peringkat tinggi turut memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan, teknologi, budaya dan pertukaran rakyat dengan rakyat.
Menyentuh mengenai apa yang disifatkannya sebagai “diplomasi golf” Reddy, Sharma berkata Pesuruhjaya Tinggi itu berjaya menggunakan sukan tersebut sebagai platform untuk membina hubungan antara diplomat, pemimpin perniagaan dan pegawai kerajaan.
“Banyak perbincangan yang bermakna tidak semestinya berlaku di meja persidangan. Ia berlaku di padang golf, tempat persahabatan dibina, kepercayaan diwujudkan dan kerjasama diperkukuhkan,” katanya.
CIIM turut merakamkan penghargaan kepada Lalita Devi atas sumbangannya dalam memupuk hubungan baik dan persahabatan sepanjang berada di Malaysia. -BERNAMA
















