Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia merangkap Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berucap pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM Tahun 2025 di Dewan Besar, Majlis Peperiksaan Malaysia, Selayang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 18 JUN 2026

SELAYANG – Seramai 18 pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2025 diumumkan sebagai pelajar terbaik kebangsaan mengikut kategori pada Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2025, hari ini.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, daripada jumlah itu, tujuh pelajar dipilih sebagai terbaik kebangsaan bagi aliran Sains manakala tujuh lagi bagi aliran Sains Sosial.

Beliau berkata, seorang pelajar turut diumumkan sebagai terbaik kebangsaan kategori Orang Asli, selain tiga pelajar terbaik bagi kategori calon berkeperluan pendidikan khas membabitkan kategori spastik, buta dan rabun.

“Semua pelajar terbaik akan menerima anugerah berupa wang tunai RM1,000, plak serta sijil penghargaan daripada MPM,” katanya pada Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2025 di sini hari ini.

Menurut beliau, tahun ini mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya semua universiti awam menawarkan tajaan dalam bentuk yuran pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda kepada 18 pelajar terbaik kebangsaan berkenaan.

“MPM juga akan memberikan anugerah kepada seorang pelajar terbaik kebangsaan Malaysian University English Test (MUET) Tahun 2025 dan seorang pelajar terbaik kebangsaan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu bagi Warganegara Asing (SKBMW) Tahun 2025,” katanya.

Beliau berkata, pengiktirafan itu merupakan penghargaan kepada kecemerlangan akademik yang ditunjukkan calon-calon terbabit sepanjang menduduki peperiksaan berkenaan.

Majlis berkenaan turut menjadi platform bagi meraikan pencapaian cemerlang pelajar yang berjaya mengharumkan nama institusi pendidikan masing-masing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast