Oleh: Ismail Hashim Yahaya
KETIKA Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Tan Sri Hassan Marican memberi amaran bahawa krisis bekalan dan tenaga global tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai isu kenaikan harga minyak, beliau sebenarnya sedang mengingatkan negara tentang sesuatu yang jauh lebih besar.
Gangguan terhadap tenaga, logistik, baja, bahan mentah dan rantaian bekalan global akhirnya akan sampai ke peringkat isi rumah melalui kenaikan kos sara hidup. Ia bukan lagi persoalan ekonomi semata-mata tetapi persoalan ketahanan dan keselamaatan negara. Dalam dunia yang semakin saling bergantung, sebarang gangguan di satu bahagian dunia boleh menghasilkan kesan berantai yang akhirnya
dirasai oleh rakyat biasa melalui harga makanan, kos pengangkutan, bahan binaan dan keperluan harian.
Namun ketika amaran tersebut disuarakan, ruang politik Malaysia seolah-olah bergerak dalam dunia yang berbeza. Johor dipenuhi dengan perdebatan mengenai kemungkinan pertandingan solo dan hubungan antara parti-parti politik. Negeri Sembilan pula disibukkan dengan spekulasi politik dan isu-isu yang berkaitan dengan institusi negeri.
Pada masa yang sama, Pas mengumumkan penamatan kerjasama dengan Bersatu, sekali gus membuka lembaran baharu dalam penjajaran politik pembangkang. Hampir seluruh ruang perhatian politik tertumpu kepada persoalan siapa akan menguasai negeri, siapa akan memperoleh kelebihan politik dan bagaimana peta kuasa baharu akan terbentuk menjelang pilihan raya.
Keadaan ini memperlihatkan satu paradoks yang menarik. Ketika dunia sedang bercakap tentang gangguan bekalan, keselamatan tenaga, tarif perdagangan dan ketidaktentuan geopolitik, politik Malaysia masih banyak berkisar tentang kerusi, gabungan dan survival parti. Seolah-olah terdapat dua realiti yang bergerak serentak tetapi tidak bertemu.
Realiti pertama ialah realiti geopolitik yang sedang berubah dengan pantas. Realiti kedua ialah realiti politik domestik yang terus berputar di sekitar perebutan kuasa. Apa yang dibimbangkan oleh Hassan Marican ialah ancaman terhadap struktur ekonomi negara, tetapi apa yang mendominasi perbualan awam ialah struktur persaingan politik.
Dari perspektif semiotik, keadaan ini menunjukkan dominasi politik simbolik ke atas politik material. Politik simbolik dipenuhi dengan kenyataan media, konflik elit, percaturan gabungan dan spekulasi pilihan raya. Politik material pula berkaitan dengan persoalan yang lebih mendasar seperti makanan, tenaga, industri, teknologi dan perdagangan.
Dalam era media sosial, politik simbolik mempunyai kelebihan kerana ia menghasilkan konflik, emosi dan perhatian. Sebaliknya, isu bekalan, logistik atau keselamatan tenaga sering dilihat terlalu teknikal dan kurang sensasi untuk menjadi tajuk utama perdebatan awam. Keadaan ini mengingatkan kepada gagasan mengenai masyarakat hiperrealiti iaitu keadaan apabila tanda dan simbol mula mengatasi realiti material yang sebenar.
Dalam konteks politik Malaysia, kerusi, gabungan, perpecahan parti dan pilihan raya menjadi simbol-simbol yang mendominasi imaginasi politik masyarakat sedangkan persoalan yang lebih asas seperti jaminan atau sekuriti makanan, daya tahan ekonomi dan kesiapsiagaan menghadapi gangguan bekalan global semakin tenggelam daripada perhatian. Politik menjadi semakin tertumpu kepada pengurusan persepsi berbanding pengurusan realiti.
Apa yang berlaku juga memperlihatkan kedaulatan politik di peringkat negeri sering mendapat perhatian yang lebih besar berbanding kedaulatan ekonomi negara. Perdebatan awam tertumpu kepada siapa menguasai Johor, Negeri Sembilan atau
negeri-negeri lain. Namun jarang sekali perbincangan yang sama serius diberikan kepada persoalan sejauh mana Malaysia mampu menghadapi gangguan bekalan makanan, ketidaktentuan tenaga atau pergolakan ekonomi global.
Ini sedangkan ancaman-ancaman tersebut tidak mengenal sempadan politik. Jika berlaku gangguan bekalan, kesannya tidak terhad kepada negeri yang ditadbir oleh satu parti tertentu. Ia akan dirasai oleh seluruh rakyat tanpa mengira warna politik.
Hakikatnya, dunia hari ini sedang menyaksikan perubahan besar dalam makna kedaulatan.
Pada abad ke-20, kedaulatan sering dikaitkan dengan penguasaan wilayah, kestabilan kerajaan dan kekuatan ketenteraan. Sebuah negara dianggap kuat apabila mampu mempertahankan sempadannya dan mengekalkan kestabilan politik.
Namun abad ke-21 telah mengubah definisi tersebut. Hari ini, negara boleh mempunyai kerajaan yang stabil dan pilihan raya yang teratur tetapi masih terdedah kepada krisis jika gagal mengawal bekalan makanan, tenaga, teknologi dan rantaian logistik. Pandemik Covid-19 menunjukkan bagaimana sebuah negara boleh lumpuh bukan kerana serangan tentera tetapi kerana gangguan bekalan perubatan dan perdagangan. Konflik di Timur Tengah pula memperlihatkan bagaimana gangguan terhadap tenaga dan laluan perdagangan boleh memberi kesan kepada negara yang terletak jauh daripada kawasan konflik.
Dalam konteks ini, amaran Hassan Marican sebenarnya membawa makna geopolitik yang lebih mendalam. Beliau sedang mengingatkan ancaman abad ke-21 tidak semestinya datang dalam bentuk kereta kebal atau pesawat pejuang. Ancaman boleh datang dalam bentuk kapal yang tidak sampai ke pelabuhan, kenaikan kos logistik, kekurangan bahan mentah atau ketidaktentuan pasaran tenaga.
Ancaman seperti ini tidak mempunyai wajah musuh yang jelas dan tidak menghasilkan drama politik yang mudah dieksploitasi. Namun kesannya boleh dirasai secara langsung oleh setiap isi rumah melalui peningkatan kos kehidupan. Menariknya, kerajaan Persekutuan di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak kelihatan menggunakan ancaman ini sebagai naratif politik utama.
Dalam sejarah politik dunia, terdapat pemimpin yang menggunakan ancaman luar untuk menyatukan rakyat, mengukuhkan legitimasi dan mengalihkan perhatian daripada perpecahan dalaman.
Namun pendekatan Anwar setakat ini lebih cenderung kepada pengurusan teknokratik. Beliau lebih banyak bercakap mengenai pelaburan, perdagangan, reformasi ekonomi, ASEAN dan kerjasama antarabangsa berbanding membina naratif bahawa negara sedang berhadapan krisis besar yang memerlukan mobilisasi nasional.
Pendekatan ini mempunyai kelebihannya tersendiri. Ia membantu mengelakkan panik awam dan mengekalkan keyakinan pasaran. Namun pada masa yang sama, terdapat kebimbangan ia juga mewujudkan satu jurang antara realiti strategik dan kesedaran awam. Ancaman yang dibincangkan oleh Hassan Marican tidak diterjemahkan menjadi naratif nasional yang dominan. Akibatnya, rakyat lebih mudah tertarik kepada drama politik negeri berbanding cabaran geopolitik yang sedang menghampiri.
Persoalan yang lebih besar ialah sama ada politik Malaysia hari ini masih memahami makna sebenar kedaulatan dalam dunia yang sedang berubah. Jika dahulu kedaulatan diukur melalui penguasaan wilayah politik, hari ini ia semakin diukur melalui kemampuan menjamin makanan, tenaga, teknologi dan bekalan strategik kepada rakyat.
Negara-negara besar semakin menumpukan perhatian kepada keselamatan makanan, keselamatan tenaga dan daya tahan rantaian bekalan kerana mereka memahami kuasa sebenar pada masa hadapan bergantung kepada kemampuan menghadapi gangguan global.
Mungkin inilah paradoks terbesar politik Malaysia hari ini. Ketika parti-parti politik bertarung mempertahankan wilayah kuasa masing-masing, dunia sedang bergerak ke arah persaingan yang lebih besar berkaitan bekalan, tenaga, teknologi dan ketahanan ekonomi. Kedaulatan politik negeri menjadi tajuk utama, sedangkan kedaulatan ekonomi negara semakin menjadi persoalan yang terpinggir.
Jika amaran Hassan Marican terbukti benar, sejarah mungkin akan mengingati bahawa ketika ancaman sebenar sedang terbentuk melalui gangguan bekalan dan tenaga global, sebahagian besar tenaga politik negara masih dihabiskan untuk mempertahankan sempadan kuasa yang jauh lebih kecil. Persoalan akhirnya bukan siapa yang memenangi pilihan raya negeri tetapi sama ada negara secara keseluruhannya cukup bersedia menghadapi dunia yang semakin tidak stabil dan semakin sukar diramalkan.

Penulis adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa dan mengulas perkembangabn isu semasa daripada perspektif semiotik dan naratif.
















