KUALA LUMPUR – Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Dewan Pemuda Pas mempertahankan hak umat Islam untuk menjalankan aktiviti dakwah di institusi pengajian tinggi (IPT).
Pengerusinya, Mohamed Sukri Omar menegaskan, usaha penyebaran agama Islam dan program pendaftaran saudara baharu (mualaf) adalah sah di sisi Perlembagaan Persekutuan.
“Kenyataan Senator Dr. Lingeshwaran R. Arunasalam yang mempertikaikan usaha dakwah di kampus menunjukkan kegagalan memahami kerangka Perlembagaan Persekutuan.
“Malah hak-hak itu juga dijamin kepada umat Islam di negara ini,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurut Mohamed Sukri, kedudukan Islam di Malaysia bukan sekadar bersifat simbolik, sebaliknya diperuntukkan secara jelas dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.
“Pada masa sama, Perkara 11(1) menjamin kebebasan beragama manakala Perkara 11(4) memberikan kuasa kepada negeri-negeri untuk mengawal atau menyekat penyebaran agama lain kepada umat Islam.
“Peruntukan ini membuktikan Perlembagaan mengiktiraf kedudukan istimewa Islam serta hak untuk agama Islam disebarkan dan dikembangkan secara aman, berhemah dan mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Mohamed Sukri menegaskan program dakwah dan pendaftaran saudara baharu yang dilaksanakan oleh pusat Islam di IPT adalah selaras dengan identiti negara serta tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan undang-undang.
“Selagi pelaksanaan program berkenaan dibuat secara sukarela, tanpa paksaan dan mematuhi etika serta undang-undang ditetapkan, tiada pihak berhak mempertikaikan kewujudannya.
“Institusi pengajian tinggi bukan kawasan larangan kepada dakwah Islam.
“Sebaliknya, kampus merupakan medan ilmu yang seharusnya subur dengan wacana, pencerahan dan penghayatan nilai-nilai murni berasaskan Perlembagaan serta prinsip Rukun Negara,” katanya.
Mohamed Sukri turut menolak pandangan kononnya institusi pendidikan awam perlu bersifat neutral sehingga menafikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Konsep neutraliti tidak seharusnya ditafsirkan sebagai usaha menghapuskan identiti serta asas kenegaraan Malaysia yang telah dipersetujui oleh para pengasas negara dan dimaktubkan dalam Perlembagaan,” katanya.
Dalam kenyataan sama, beliau turut mengaitkan pandangan yang dibangkitkan oleh senator berkenaan dengan gagasan “Malaysian Malaysia” yang sering dikaitkan dengan DAP.
Dakwanya, pendekatan tersebut cenderung merelatifkan kedudukan Islam, institusi Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu dan hak-hak tertentu yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Pendekatan sedemikian bukan sahaja bercanggah dengan semangat Perlembagaan, malah berpotensi menghakis asas persefahaman nasional yang sekian lama menjadi tunjang kestabilan negara,” katanya.
Beliau turut menggesa semua pihak agar menghormati kerangka kenegaraan yang telah dipersetujui bersama dan tidak terus mencabar perkara-perkara asas yang menjadi tunjang keharmonian masyarakat majmuk.
“Umat Islam sentiasa menghormati hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing, namun hak umat Islam untuk berdakwah secara aman dan berhemah juga perlu dihormati,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak menghentikan polemik yang mempertikaikan hak dakwah umat Islam serta kembali menghormati semangat Perlembagaan Persekutuan.
“Sebarang usaha menghakis kedudukan Islam atas nama pluralisme yang ditafsir secara sempit dan melampau hanya akan menjejaskan keharmonian serta kestabilan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















