Perkarangan Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 16 JUN 2025. (GAMBAR FAIL)

SHAH ALAM – Seorang jurujual mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang penunggang motosikal menggunakan sebilah parang daging dalam kejadian di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, minggu lalu.

Tertuduh, Azmi Jantan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Fatimah Zahari.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki berusia 45 tahun dengan menetak mangsa menggunakan sebilah parang daging, yang merupakan senjata yang boleh mendatangkan maut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer 14.6 laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, Seksyen 13, di sini, pada jam 8.19 pagi, 11 Jun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, selain denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Ho Zee Xing memohon mahkamah menetapkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin tempatan serta syarat tambahan.

Antaranya tertuduh perlu berusia 43 tahun itu menyerahkan pasport dan melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.

Beliau turut memohon tarikh ditetapkan bagi pembentangan fakta kes dan jatuh hukum.

Bagaimanapun, Azmi yang tidak diwakili peguam merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan kepada RM5,000.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin tempatan, selain mengarahkan dia melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 8 Julai depan untuk pembentangan fakta kes dan jatuh hukum.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 45 tahun dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja di Kuala Lumpur sebelum berlaku perselisihan faham dengan seorang penunggang motosikal lain di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan.

Siasatan awal mendapati mangsa membunyikan hon selepas mendakwa laluan di hadapannya dihalang oleh suspek.

Tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut, suspek dikatakan berhenti di tepi jalan sebelum bertindak menetak mangsa menggunakan sebilah parang daging.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada jam 8.19 pagi berhubung kejadian berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast