Muhammad Adam Danish Mohd Anuar ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di di Kolam Menara Saujana Perdana, Sungai Buloh, semalam. Gambar: Ihsan JBPM

SUNGAI BULOH – Bapa kepada pelatih industri yang maut ketika menjalankan kerja-kerja mencuci tangki air di Bandar Saujana Utama, di sini menyifatkan pemergian anaknya sebagai satu kehilangan besar buat keluarga.

Muhammad Adam Danish Mohd Anuar, 24, merupakan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang sedang menjalani latihan industri ketika kejadian.

Bapa mangsa, Mohd Anuar melahirkan rasa terharu apabila urusan Allahyarham anaknya berjalan dengan lancar bermula proses bedah siasat hingga ke pengebumian.

Katanya, jenazah Allahyarham selesai menjalani bedah siasat di Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam kira-kira jam 7 malam, pada Selasa.

“Alhamdulillah, semua urusan dipermudahkan. Selepas selesai bedah siasat, jenazah dimandi, dikafan dan disolatkan oleh pihak hospital.

“Kemudian jenazah dibawa ke Masjid Kariah Kundur Tengah, Pedas, Negeri Sembilan untuk solat jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kundur Tengah kira-kira jam 12.30 tengah malam.

“Kami sempat membuka ruang kepada ahli keluarga dan kenalan kir-kira 10 minit untuk memberikan penghormatan terakhir sebelum jenazah disemadikan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Selasa lalu, seorang lelaki berusia 24 tahun maut selepas dipercayai tersedut dan lemas di dalam sebuah tangki air ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di Kolam Menara Saujana Perdana, Jalan Saujana Perdana 18, Bandar Saujana Perdana di sini, pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.51 pagi itu, mangsa dilaporkan berada di atas tangki air sebelum dipercayai terjatuh atau tersedut ke dalam tangki berkenaan dan gagal menyelamatkan diri.

Mohd Anuar berkata, dia tidak menyangka ramai jemaah memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham termasuk rakan, kenalan serta penduduk kampung hadir menunaikan solat jenazah.

“Kehadiran orang ramai termasuk rakan-rakan yang sudah lama tidak ditemui menunjukkan Allahyarham seorang insan yang disenangi ramai.

“Saya sendiri terharu apabila melihat begitu ramai yang hadir. Ada rakan-rakan yang sudah lima hingga 10 tahun tidak berjumpa pun datang memberikan penghormatan terakhir.

“Saya percaya Allah memberi peluang kepada arwah untuk mendapat penghormatan sebegitu. Bukan semua orang memperoleh kesempatan seperti itu,” katanya dalam nada sebak.

Anuar turut mengakui dia masih sukar menerima kehilangan anaknya, namun perlu terus tabah demi ahli keluarga terutama adik-beradik Allahyarham.

“Sebenarnya saya tidak kuat untuk menghadapi perkara ini. Tetapi demi adik-adiknya, saya perlu kuat.

“Kehilangan anak adalah ujian yang amat berat,” katanya.

Allahyarham merupakan anak sulung daripada empat beradik dan ketika kejadian sedang menjalani latihan industri sebagai sebahagian daripada keperluan pengajiannya di UPM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast