KUALA LUMPUR – Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kes pecah masuk sebuah kedai makan nasi lemak di Permyjaya sehingga menyebabkan kerugian dianggarkan RM590.35.
Ketua Polis Daerah Miri dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 5 Jun lalu kira-kira jam 7.16 petang.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku pada hari yang sama sekitar jam 3.43 pagi di sebuah premis makanan di Pusat Bandar Commercial Centre, Permyjaya Fasa 3.
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki telah memecah masuk premis berkenaan sebelum melarikan sebuah mesin duit yang diletakkan di bahagian kaunter,” katanya hari ini.
Bertindak atas maklumat dan risikan yang dijalankan, sepasukan anggota dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ), Balai Polis Pusat Miri yang diketuai Ketua Polis Balai Miri, ASP Goldy Anak Jangan berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun di kawasan Pujut pada jam 4.50 pagi semalam.
Polis turut merampas pakaian yang dipercayai dipakai suspek ketika melakukan jenayah tersebut, selain sebuah mesin duit.
Suspek kini ditahan di Lokap Balai Polis Pusat Miri bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah masuk bangunan atau rumah pada waktu malam.
Dalam pada itu, Polis Daerah Miri menasihatkan pemilik premis perniagaan supaya sentiasa meningkatkan aspek keselamatan termasuk memasang sistem keselamatan yang bersesuaian, memastikan premis dikunci dengan sempurna selepas operasi serta tidak meninggalkan wang tunai atau barangan berharga di dalam kedai. – MalaysiaGazette
















