KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Persekutuan Rusia, Vladimir Putin mengadakan perbincangan mengenai pelbagai aspek kerjasama dua hala, termasuk potensi memperkukuh hubungan dalam sektor tenaga yang dilihat sebagai antara bidang strategik bagi kedua-dua negara.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, kedua-dua pemimpin turut membincangkan usaha memperluas kerjasama ekonomi serta menghargai komitmen Rusia untuk menyediakan kerjasama jangka panjang dalam aspek bekalan tenaga dan minyak.
Selain itu, mereka juga bertukar pandangan mengenai peluang meningkatkan kerjasama dalam bidang teknologi baharu, keselamatan siber, pendigitalan, kecerdasan buatan (AI), pertanian moden dan farmaseutikal.
Perbincangan itu juga menyentuh usaha memudah cara pergerakan rakyat melalui pemansuhan visa, selain meneroka mekanisme bagi memperluas perdagangan dan pelaburan dua hala menggunakan mata wang tempatan, iaitu ringgit dan ruble.
Kerajaan Madani, katanya, akan terus mengambil langkah strategik dan proaktif bagi memperkukuh keterjaminan tenaga negara, termasuk melalui kerjasama antarabangsa yang mampu menjamin kestabilan, kesinambungan dan daya tahan bekalan tenaga demi kepentingan rakyat serta kemakmuran negara. – MalaysiaGazette
















