Perbicaraan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pertuduhan salah guna kuasa melibatkan suapan berjumlah RM232.5 juta dan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta di Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 29 APRIL 2026. (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Tan Sri Muhyiddin Yassin memfitnah Lim Guan Eng berhubung kenyataannya berkaitan status pengecualian cukai melibatkan Yayasan Albukhary.

Bagaimanapun, mahkamah mengurangkan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu kepada RM450,000 berbanding RM1.35 juta yang diputuskan sebelum ini.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Azhahari Kamal Ramli bersama Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Seri Latifah Mohd Tahar selepas mendengar rayuan yang difailkan kedua-dua pihak.

Mahkamah memutuskan kenyataan yang dibuat Muhyiddin pada tahun 2023 membawa maksud Guan Eng ketika memegang jawatan Menteri Kewangan, bertanggungjawab terhadap penarikan balik pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary.

Bagaimanapun, keterangan yang dikemukakan sepanjang prosiding mendapati dakwaan itu tidak disokong fakta kerana pengecualian cukai dinikmati yayasan berkenaan tidak pernah dibatalkan.

Mahkamah turut bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi pembelaan Muhyiddin berasaskan justifikasi, keistimewaan bersyarat dan komen adil tidak dapat dipertahankan.

Pada masa sama, panel hakim berpendapat jumlah ganti rugi yang dianugerahkan Mahkamah Tinggi sebelum ini adalah terlalu tinggi dan perlu disemak semula.

Mahkamah turut mengetepikan pemberian ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan selepas mendapati tiada bukti menunjukkan Muhyiddin bertindak secara melampau atau memperoleh manfaat daripada kenyataan berkenaan.

Pada November tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan Muhyiddin bertanggungjawab terhadap kenyataan fitnah yang mengaitkan Guan Eng dengan isu penarikan pengecualian cukai sebuah organisasi kebajikan.

Mahkamah ketika itu turut mendapati kenyataan berkenaan berpotensi menjejaskan reputasi Guan Eng selain mengaitkan isu tersebut dengan sentimen kaum dan agama.

Ahli Parlimen DAP itu memfailkan saman terhadap Muhyiddin pada 2023 selepas mendakwa kenyataan itu memberi gambaran beliau menyalahgunakan kuasa dengan mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenakan cukai dan penalti terhadap Yayasan Albukhary.

Mahkamah turut membenarkan rayuan balas Guan Eng berhubung faedah penghakiman pada kadar lima peratus setahun bermula dari tarikh keputusan sehingga bayaran penuh diselesaikan, selain memerintahkan kos RM35,000 dibayar bagi kedua-dua rayuan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast