SELAYANG – Pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 bakal menikmati peluang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda menerusi biasiswa yang akan ditawarkan oleh setiap universiti awam bermula tahun ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif itu melibatkan pemberian sekurang-kurangnya satu biasiswa pengajian ijazah sarjana muda oleh setiap universiti awam kepada pelajar terbaik STPM 2025.
Menurutnya, komitmen yang ditunjukkan institusi pengajian tinggi awam itu merupakan satu usaha penting bagi memastikan akses pendidikan pelajar cemerlang dapat diteruskan ke peringkat lebih tinggi.

“Anak-anak, bermula pada tahun ini, kohort STPM 2025, setiap universiti awam akan menawarkan biasiswa pengajian ijazah sarjana muda kepada pelajar terbaik STPM 2025.
“Saya secara peribadi dan juga dengan rasa sangat terharu kerana komitmen daripada semua universiti awam ini yang sudi menawarkan satu tempat ataupun biasiswa pengajian ijazah sarjana muda kepada pelajar terbaik STPM 2025 pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2025, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad dan Pengerusi MPM, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff.
Fadhlina turut merakamkan penghargaan kepada semua universiti awam yang bersama-sama menjayakan usaha tersebut demi masa depan pelajar lepasan STPM.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua universiti awam atas usaha dan ikhtiar ini.
“Kalau tahun ini satu, tahun depan kita minta limalah kalau boleh,” katanya berseloroh.

Beliau berkata, langkah berkenaan merupakan antara usaha berterusan kerajaan untuk menggalakkan lebih ramai pelajar cemerlang meneruskan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.
“Insya-Allah ini semua adalah antara usaha-usaha untuk terus mendorong para pelajar kita untuk terus memastikan bahawa akses pendidikan mereka dapat diteruskan di peringkat ijazah,” katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, sistem sokongan menyeluruh termasuk pelaksanaan sistem ‘patching’ oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dikenal pasti antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan prestasi STPM 2025.
Beliau berkata, peningkatan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) STPM daripada 2.85 kepada 2.88 membuktikan mutu pendidikan negara terus menunjukkan perkembangan positif.
Menurut beliau, pencapaian itu turut mencerminkan keberkesanan ekosistem pendidikan yang disediakan kerajaan dalam memperkukuh laluan prauniversiti negara.
“MPM juga telah menjalankan proses intervensi untuk mengenal pasti mana-mana pelajar yang memerlukan sokongan.
“Kita ada ‘patching system’. Maknanya anak-anak ini boleh memperbaiki keputusan semester pertama yang kurang memuaskan pada semester berikutnya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Fadhlina berkata, kerajaan Madani sejak awal pentadbirannya memberi perhatian khusus terhadap Tingkatan Enam kerana melihat laluan itu mempunyai potensi besar untuk meningkatkan mutu pendidikan negara.
Katanya, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk penubuhan dan peluasan Kolej Tingkatan Enam, pemberian Bantuan Awal Persekolahan serta pelaksanaan program pengukuhan kepada pelajar.
“Sejak awal kami mengambil alih, kita melihat Tingkatan Enam ini berpotensi tinggi untuk melonjakkan mutu pendidikan negara.
“Sebab itu daripada awal kita memberi tumpuan kepada penjenamaan, selain memperluas Kolej Tingkatan Enam, pusat Tingkatan Enam dan kelas-kelas Tingkatan Enam,” katanya.
Beliau berkata, selain sistem ‘patching’, pelbagai intervensi turut dilaksanakan bagi mengelakkan keciciran dalam kalangan pelajar sepanjang tempoh pengajian di Tingkatan Enam.
Katanya, semua bentuk sokongan itu menjadi antara teras kepada peningkatan prestasi STPM selain dedikasi tinggi guru-guru dalam membimbing pelajar.
“Dari semasa ke semasa kita melihat masih banyak sistem sokongan yang perlu diberi perhatian supaya Tingkatan Enam terus melonjak dan menjadi pilihan selain asasi, matrikulasi dan laluan lain,” katanya. – MalaysiaGazette
















