Lawrence Low

 

KUALA LUMPUR – Pengurangan sehingga 70 peratus kuota subsidi diesel bagi kenderaan komersial dijangka memberi kesan besar kepada industri pengangkutan barang dan akhirnya meningkatkan kos sara hidup apabila kenaikan kos operasi dipindahkan kepada pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi & Hal Ehwal PKS MCA, Datuk Ir. Lawrence Low berkata, beberapa kategori lori mengalami pengurangan kuota diesel antara 30 hingga 70 peratus.

Malah, terdapat lori jarak jauh yang sebelum ini menerima 5,999 liter diesel bersubsidi sebulan kini hanya diperuntukkan 1,800 liter, iaitu pengurangan lebih 4,000 liter.

Dakwa beliau, keadaan ini disifatkan sebagai tamparan hebat kepada pengusaha pengangkutan yang bergantung kepada diesel untuk menjalankan operasi harian di seluruh negara.

“Walaupun kerajaan berhasrat membendung penyalahgunaan diesel bersubsidi, termasuk kes melibatkan kenderaan kecil yang menerima kuota melebihi penggunaan sebenar sehingga membuka ruang kepada penjualan semula diesel, langkah mengurangkan kuota secara menyeluruh dianggap tidak wajar.

“Sebaliknya, tindakan tersebut dikhuatiri menghukum majoriti pengusaha yang mematuhi peraturan, sedangkan hanya segelintir pihak didakwa menyalahgunakan kemudahan subsidi,” katanya dalam satu kenyataan.

Lawrence menegaskan, lori merupakan komponen penting dalam rantaian bekalan negara kerana digunakan untuk mengangkut pelbagai barangan termasuk hasil pertanian, makanan laut, sayur-sayuran, buah-buahan, bahan binaan, bekalan industri dan keperluan harian.

Oleh itu, sebarang peningkatan kos bahan api akan menyebabkan caj pengangkutan meningkat sebelum diterjemahkan kepada kenaikan harga barangan di pasaran.

Lebih daripada itu, katanya, para pengusaha logistik juga dijangka tidak mampu menyerap kos tambahan secara berterusan, sekali gus memaksa mereka menyemak semula kadar tambang pengangkutan.

Akibatnya, pengeluar, pemborong dan peruncit turut berdepan peningkatan kos operasi yang akhirnya ditanggung pengguna.

“Orang ramai mungkin tidak merasai kesan pengurangan subsidi diesel dalam tempoh terdekat, namun harga sayur-sayuran, barangan runcit, bahan binaan serta kos pengubahsuaian rumah berpotensi meningkat dalam beberapa bulan akan datang,” ujarnya.

Berikutan itu, beliau menyarankan kerajaan melaksanakan langkah yang lebih bersasar bagi menangani penyalahgunaan subsidi seperti meningkatkan pemantauan, menggunakan sistem penjejakan elektronik, menjalankan audit perbatuan dan memperkukuh penguatkuasaan, berbanding mengurangkan kuota secara menyeluruh.

Kerajaan juga digesa segera mengadakan libat urus dengan persatuan pengangkutan, pengendali logistik dan pihak berkepentingan bagi menilai kesan sebenar pelarasan subsidi diesel serta merangka langkah mitigasi yang sesuai.

Pendekatan tersebut, jelas beliau, dilihat penting bagi mengelakkan peningkatan kos pengangkutan daripada mencetuskan gelombang baharu kenaikan harga barangan dan menambah tekanan terhadap kos sara hidup rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast