Mohamad Zawawi (kiri) menunjukkan PNGK STPM 2025 bagi negeri Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Prestasi calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 di Pulau Pinang mencatat peningkatan apabila Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) negeri meningkat kepada 2.99 berbanding 2.96 pada tahun sebelumnya.

Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Mohamad Zawawi Ahmad berkata, pencapaian itu meningkat sebanyak 0.03 mata dan merupakan PNGK tertinggi pernah dicatatkan negeri itu sejak peperiksaan STPM dilaksanakan.

Beliau berkata, seramai 1,590 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM 2025 di Pulau Pinang berbanding 1,725 calon pada tahun lalu dan daripada jumlah itu, seramai 1,552 calon atau 97.6 peratus hadir menduduki peperiksaan STPM 2025.

“Seramai 90 calon berjaya memperoleh PNGK 4.00 pada tahun ini, meningkat sebanyak 0.21 peratus berbanding 5.59 peratus pada STPM 2024 kepada 5.80 peratus pada STPM 2025.

“Selain itu, seramai 161 calon atau 10.38 peratus memperoleh PNGK 3.75 dan ke atas, manakala 605 calon atau 38.98 peratus mendapat PNGK antara 3.00 hingga 3.74.

“Seramai 556 calon atau 35.82 peratus pula memperoleh PNGK 2.00 dan ke atas.

“Bagi calon yang mendaftar lima mata pelajaran, seorang calon berjaya memperoleh gred A bagi kesemua lima mata pelajaran yang diambil sekali gus dinobatkan sebagai calon terbaik Pulau Pinang dan kebangsaan,” katanya pada sidang media pengumuman keputusan STPM 2025 di Jabatan Pendidikan negeri di sini, hari ini.

Menurutnya, seramai 90 calon daripada 19 pusat peperiksaan di negeri itu turut memperoleh 4A bagi semua mata pelajaran yang didaftarkan.

Jelas beliau, dalam aspek kelulusan penuh peringkat prinsipal, seramai 1,230 calon atau 79.25 peratus memperoleh 4P berbanding 79.22 peratus pada tahun sebelumnya.

Katanya, peratusan calon yang memperoleh lulus penuh dalam empat dan lima mata pelajaran turut meningkat kepada 99.16 peratus atau 1,539 calon berbanding 98.59 peratus atau 1,675 calon pada tahun 2024.

“Daripada 1,552 calon yang hadir menduduki peperiksaan, kesemua mereka layak dianugerahkan Sijil STPM 2025, menjadikan kadar kelayakan sijil mencapai 100 peratus.

“Selain itu, daripada 22 mata pelajaran yang ditawarkan, kesemuanya mencatat peratusan lulus penuh melebihi 86 peratus dengan 14 mata pelajaran menunjukkan peningkatan peratusan lulus penuh.

“Mata pelajaran Usuluddin dan Seni Visual mencatat kelulusan 100 peratus, manakala Syariah, Usuluddin, Geografi, ICT, Physics, Sains Sukan dan Seni Visual merekodkan peningkatan prestasi melebihi tiga peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Zawawi turut memaklumkan Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin dan Kolej Tingkatan Enam Desa Murni, Sungai Dua turut menerima Anugerah Kolej Tingkatan Enam terbaik peringkat kebangsaan tahun 2025. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast