KUALA LUMPUR – ASEAN Rohingya Centre (ARC) menegaskan akar permasalahan sebenar krisis Rohingya adalah kegagalan berterusan di Myanmar untuk menjamin keselamatan, hak asasi dan kewarganegaraan masyarakat berkenaan.
Pengarah Eksekutif ARC, Dr. Helmi Ibrahim berkata, fokus masyarakat antarabangsa tidak seharusnya terpesong daripada punca utama yang telah menyebabkan salah satu krisis pelarian paling berpanjangan di dunia.
“Malaysia sendiri pernah menjadi antara negara yang paling lantang memperjuangkan nasib minoriti Islam Rohingya yang tertindas. Malah Malaysia secara konsisten merujuk kepada kenyataan bekas Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zeid Ra’ad Al Hussein, yang menyifatkan layanan terhadap masyarakat Rohingya di Myanmar sebagai a textbook case of ethnic cleansing.
“Kepimpinan Malaysia dalam isu ini terserlah apabila negara menjadi tuan rumah Sidang Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Kuala Lumpur pada tahun 2017 yang menghasilkan pelan tindakan konkrit melibatkan negara-negara anggota OIC bagi menangani krisis kemanusiaan Rohingya,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Helmi, komitmen Malaysia turut mendapat pengiktirafan masyarakat antarabangsa apabila pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan, termasuk Qatar Development Fund yang memperuntuk dana sebanyak USD50 juta bagi menyokong inisiatif berkaitan pelarian di Malaysia.
“Di persada antarabangsa, Malaysia juga secara konsisten membangkitkan isu Rohingya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan dalam pelbagai platform ASEAN sebagai sebahagian daripada komitmen negara terhadap prinsip kemanusiaan dan keadilan sejagat,” katanya.
ARC berpandangan sudah tiba masanya Kerajaan Malaysia menampilkan suatu Dasar Pengurusan Pelarian Nasional yang jelas, komprehensif dan bersepadu.
Walaupun Malaysia belum meratifikasikan Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967, realitinya isu pelarian tidak lagi boleh ditangani secara ad-hoc dan reaktif.
“Ketiadaan suatu dasar yang jelas telah menimbulkan pelbagai persoalan mengenai aspek pengurusan, keselamatan, kebajikan, pendidikan, kesihatan dan status perundangan pelarian.
“Malah keadaan ini turut membuka ruang kepada pelbagai spekulasi, salah faham dan sentimen kebencian yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta keselamatan negara,” ujarnya.
Memandangkan isu telah berlarutan selama beberapa dekad dan memberikan kesan langsung terhadap pengurusan negara, ARC menggesa Kerajaan Malaysia mempertimbangkan penggubalan Dasar Pengurusan Pelarian Nasional.
Ia antara lain menetapkan hala tuju dan strategi jangka pendek, sederhana dan panjang negara dalam mengurus isu pelarian.
Selain itu, kerangka perundangan dan tadbir urus yang jelas, penyelarasan tanggungjawab antara kementerian dan agensi berkaitan dan mekanisme pengurusan data, keselamatan, pendidikan, kesihatan dan kebajikan pelarian.
Kerjasama strategik dengan UNHCR, negara-negara ASEAN dan rakan antarabangsa dan pelan penyelesaian jangka panjang termasuk repatriasi secara sukarela, penempatan semula dan perkongsian tanggungjawab antarabangsa.
“ARC percaya bahawa sebuah dasar yang jelas dan menyeluruh bukan sahaja akan membantu negara mengurus isu pelarian secara lebih berkesan, malah mampu melindungi kepentingan dan keselamatan negara, memperkukuh keharmonian sosial serta mengekalkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang menjunjung prinsip kemanusiaan dan keadilan sejagat,” katanya.
Krisis Rohingya, kata Helmi, tidak boleh diselesaikan melalui tuding-menuding, retorik politik atau sentimen kebencian semata-mata.
“Penyelesaiannya memerlukan kerjasama serantau dan antarabangsa yang berasaskan prinsip kemanusiaan, tanggungjawab bersama dan penghormatan terhadap kedaulatan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















