KUALA LUMPUR – Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memberi sokongan penuh terhadap penubuhan dan pelancaran Tribunal Anti-Buli yang disifatkan sebagai satu langkah penting dalam usaha mewujudkan persekitaran pembelajaran lebih selamat, inklusif dan mesra kanak-kanak di negara ini.
Dalam satu kenyataan hari ini CC berkata, pelancaran tribunal itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan untuk melindungi kanak-kanak daripada segala bentuk buli dan keganasan.
Menurutnya, tribunal berkenaan menyediakan mekanisme aduan yang mudah diakses, mesra kanak-kanak dan berkesan bagi memastikan mangsa mendapat pembelaan serta pemulihan sewajarnya.
CC turut mengalu-alukan pewartaan Akta Anti-Buli 2026 yang mula berkuat kuasa pada 16 Jun, termasuk keperluan enam mekanisme perlindungan yang wajib dilaksanakan oleh institusi pendidikan bagi mencegah dan menguruskan kes buli.
Antara mekanisme tersebut ialah penubuhan jawatankuasa khas pencegahan dan pengurusan buli, pelaksanaan dasar dan garis panduan berkaitan, penyediaan saluran aduan yang mudah diakses dan menjamin kerahsiaan pelapor, penyediaan khidmat kaunseling dan sokongan psikososial, latihan berkaitan pengurusan buli serta pematuhan kepada standard yang ditetapkan oleh Menteri.
Menurut CC, Tribunal Anti-Buli juga menyediakan saluran aduan percuma kepada mangsa, ibu bapa atau penjaga untuk mendapatkan keadilan melalui mekanisme bebas tanpa sebarang beban kewangan.
“Suhakam menghargai kerjasama dan sesi libat urus yang dijalankan kerajaan sepanjang proses penggubalan Akta Anti-Buli 2026 sehingga tertubuhnya tribunal tersebut,” katanya sambil menyatakan CC terlibat secara aktif dalam pelbagai rundingan dengan mengemukakan cadangan berteraskan prinsip hak dan kepentingan terbaik kanak-kanak.
Menurut kenyataan itu lagi, kejayaan Tribunal Anti-Buli memerlukan komitmen semua pihak termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan, ibu bapa, guru, pertubuhan masyarakat sivil dan kanak-kanak sendiri.
“Tiada kanak-kanak seharusnya menjadi mangsa buli, gangguan atau ugutan dalam mana-mana persekitaran pendidikan. Penubuhan Tribunal ini menghantar mesej jelas bahawa buli tidak akan diterima dan setiap kanak-kanak berhak mendapat pemulihan apabila hak mereka dilanggar,” katanya.
CC menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan Akta Anti-Buli 2026 berjalan dengan berkesan serta memupuk budaya saling menghormati, empati dan keselamatan dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia. – MalaysiaGazette
















