Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) bersama Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kanan) dan Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Radzi Jidin (kiri) pada Mesyuarat Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU tergempar di Ibu Pejabat BERSATU di Yayasan Selangor Petaling Jaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 16 JUN 2026

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan bahawa Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) gabungan itu di ibu pejabat Bersatu malam ini.

Penafian itu dibuat susulan tularnya satu undangan media yang mendakwa mesyuarat MT PN akan berlangsung pada pukul 8 malam dan dipengerusikan oleh Muhyiddin.

Azmin berkata, dakwaan berhubung mesyuarat berkenaan adalah tidak benar dan tidak pernah dijadualkan oleh PN.

“Tidak (ada mesyuarat tersebut), palsu,” katanya ringkas ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Terdahulu, satu hantaran yang tular kepada pengamal media mendakwa satu mesyuarat MT PN akan diadakan di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai perkembangan terbaharu dalam gabungan pembangkang itu.

Malah, mesyuarat yang didakwa akan berlangsung malam ini turut dikaitkan dengan gerakan untuk mendesak Muhyiddin dikembalikan ke jawatan Pengerusi PN.

Dakwaan tersebut muncul ketika kemelut hubungan antara Bersatu dan PAS terus menjadi perhatian selepas beberapa kenyataan terbuka melibatkan pemimpin kedua-dua parti sejak kebelakangan ini.

Pada sebelah pagi, sebuah poster turut tular di media sosial yang menggesa penyokong Bersatu hadir ke ibu pejabat parti itu dengan memakai baju biru PN sebagai tanda sokongan kepada Muhyiddin.

Bagaimanapun, penafian tegas Mohamed Azmin itu dilihat menutup spekulasi mengenai kewujudan mesyuarat khas MT PN serta gerakan yang dikatakan mahu mengembalikan Muhyiddin ke jawatan tertinggi gabungan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast