KUALA LUMPUR – Dua beranak berdepan detik cemas selepas rumah teres dua tingkat yang mereka diami di Jalan Raja Jumaat, Taman Seri Istana Hills, Klang terbakar awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu, seorang bapa berusia 57 tahun dilaporkan melecur pada bahagian pergelangan tangan dan kepala, manakala anak lelakinya berumur 28 tahun mengalami sesak nafas.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.23 pagi.

Susulan itu katanya, seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Selatan dan BBP Klang Utara bersama jentera dikejarkan ke lokasi kejadian bagi tujuan pemadaman.
“Sebaik anggota tiba di tempat kejadian mendapati, kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat berkeluasan 30 x 80 kaki persegi yang terbakar kira-kira 70 peratus.
“Kebakaran kemudian berjaya dikawal pada jam 5.47 pagi sebelum meneruskan kerja-kerja pemadaman dan pemeriksaan bagi memastikan api dipadamkan sepenuhnya.
“Bagaimanapun, kedua-dua mangsa sempat menyelamatkan diri lebih awal susulan api semakin marak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kedua-dua mangsa kemudian menerima rawatan di lokasi sebelum dihantar ke Hospital Klang oleh Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan dan Penyelamat (EMRS) bagi rawatan lanjut.
“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran sepanjang 400 kaki dengan dua pancutan air yang disalurkan daripada pili bomba berhampiran dan tamat sepenuhnya pada jam 7.50 pagi.
“Setakat ini punca kejadian masih dalam siasatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















