Operasi penguatkuasaan DBKL di Pasar Harian Selayang menyaksikan 13 penjaja warga asing disita atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen dalam tindakan tegas memastikan pematuhan undang-undang tempatan. - Foto: Facebook DBKL

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan tindakan penguatkuasaan ke atas aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh warga asing di sekitar Jalan Selayang Baru, pasar harian Selayang pada Khamis lalu.

Dalam operasi tersebut, pemeriksaan dijalankan terhadap aktiviti perniagaan melibatkan jualan barangan am, runcit, barangan basah termasuk buah-buahan dan sayur-sayuran yang didapati dijalankan tanpa lesen sah oleh individu bukan warganegara.

DBKL memaklumkan sebanyak empat notis kompaun telah dikeluarkan atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen, selain 13 tindakan sita dan pindah barangan dilakukan terhadap penjaja warga asing, termasuk individu yang menggunakan kad pelarian daripada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebagai dokumen pengenalan.

Kesemua barangan serta peralatan perniagaan yang disita dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL untuk tindakan dan dokumentasi lanjut.

Tindakan penguatkuasaan itu dijalankan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 dan UUK Pelesenan Pasar (WPKL) 2016.

Menurut DBKL, operasi seumpama itu akan diteruskan secara berterusan di lokasi tumpuan bagi memastikan pematuhan undang-undang oleh semua pihak.

“DBKL akan terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa di kawasan tumpuan bagi memastikan semua aktiviti perniagaan dijalankan mengikut peraturan yang ditetapkan serta mengekang aktiviti tanpa lesen,” menurut DBKL dalam kenyataan hari ini.

Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat atau aduan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan di kawasan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast