KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu, pihak pembelaan telah menerima sebahagian dokumen kes pecah amanah wang berjumlah RM10.55 juta melibatkan Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar dan rakan kongsinya, Datuk Norliza Tajuddin.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry berkata, pihaknya telah menyerahkan dokumen tersebut kepada peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh manakala bakinya akan diberikan pada prosiding akan datang.
Dalam pada itu, ketika di luar mahkamah pendakwaan memberitahu, dokumen yang diserahkan kepada pihak tertuduh melibatkan laporan setiausaha syarikat dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Sehubungan itu, pasukan pendakwaan memohon tarikh sebutan baharu bagi kes terhadap Mohd Daud yang juga bekas Pengerusi Majlis Penasihat Shariah (SAC) Bank Negara Malaysia (BNM) selaku tertuduh kedua dan Norliza sebagai tertuduh pertama.
Hakim Suzana Hussin kemudian menetapkan sebutan kes pada 19 Ogos ini.
Pada prosiding hari ini, Norliza diwakili peguam Datuk Jaya Prem dan Gupinder Singh Mohana sementara Datuk Ahmad Zaidi Zainal hadir bagi pihak Mohd Daud.
Pada 11 Mei lalu, Mohd Daud dan Norliza didakwa sebagai ejen, iaitu pengarah dan pemegang saham syarikat Energy Eco Sdn Bhd telah diamanahkan dengan harta, dengan niat bersama melakukan pecah amanah jenayah ke atas wang milik empat pelabur.
Ia membabitkan nilai RM400,000 dan RM200,000 milik Moideen Kunjayu; RM500,000, RM900,000 dan RM550,000 (Koperasi Perumahan Sentul Pasar Kuala Lumpur Berhad); RM2 juta (Datuk Dr Mashitah Ibrahim) serta RM6 juta (Myad Kapital Sdn Bhd).
Mereka secara tidak jujur didakwa menggunakan harta tersebut dengan melanggar kontrak nyata yang telah dibuat mengenai penyempurnaan amanah, iaitu ‘Shareholder’s Advance Agreement’ bertarikh 22 Jun 2021, 19 Januari, 1 April, 27 April dan 6 Disember 2022 serta 5 April 2023 dan 12 Mei 2024.
Perjanjian melibatkan Energy Eco dengan empat pelabur terbabit berhubung perniagaan pembuatan sarung tangan patuh syariah.
Kesalahan didakwa dilakukan di dua bank di Taman Setiawangsa dan Bangsar, di sini antara 22 Jun 2021 dan 15 Mei 2024.
Setiap pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette
















