kan dilangsungkan pada 22 Ogos bertempat di SPICE Arena Pulau Pinang iaitu lokasi sama Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota.

KUALA LUMPUR – Penganjur konsert Hitman Solutions dan Rockqueen mengumumkan penukaran tarikh serta lokasi baharu untuk Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella Homecoming yang asalnya dijadualkan berlangsung pada 25 Julai di Stadium Batu Kawan Pulau Pinang.

Kali ini, konsert tersebut akan dilangsungkan pada 22 Ogos bertempat di SPICE Arena Pulau Pinang iaitu lokasi sama Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota.

Menurut Ketua Projek Khas Hitman Solutions, Keeran D, perubahan tersebut dibuat selepas penelitian menyeluruh oleh pihak penganjur bersama pasukan produksi dan artis dengan matlamat untuk memberikan pengalaman konsert yang selesa.

“Pemilihan SPICE Arena adalah langkah terbaik untuk memperkukuhkan pengalaman penonton menerusi susun atur yang lebih dekat dengan pentas, sistem akustik yang lebih terkawal serta suasana persembahan yang lebih selesa.

“Selain itu, lokasi tertutup ini turut menawarkan perlindungan daripada sebarang ancaman cuaca yang tidak menentu seperti hujan atau ribut, di samping menyediakan kemudahan akses pengangkutan dan logistik yang lebih mesra pengunjung,” katanya dalam sidang media khas Santai Bersama Ella, di sini, baru-baru ini.

Tambahnya lagi, keputusan untuk menukar lokasi turut didorong oleh maklum balas dan permintaan ramai yang mengharapkan kemeriahan dan pengalaman yang sama seperti Konsert Jilid Akhir lalu.

Biarpun penganjur pada asalnya berhasrat untuk mengekalkan tarikh yang sama, namun tiada kelapangan pada tarikh tersebut di SPICE Arena dan tarikh terpaksa dianjak ke 22 Ogos depan.

Ziana Zain sebagai penyanyi jemputan Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru, pada 22 Ogos depan.

“Sebenarnya perubahan ini adalah atas permintaan ramai juga. Mereka suka ‘vibes’ konsert Ella di Pulau Pinang dahulu. Lagi satu faktor cuaca pun memainkan peranan,” jelasnya.

Ella turut mengumumkan Datuk Ramli Sarip dan Ziana Zain sebagai penyanyi jemputan konsertnya kelak.

Menurut Ella, dia teruja untuk beraksi bersama sifunya Ramli dan Ziana yang merupakan sahabat baiknya.

“Saya merupakan salah seorang peminat Ziana dan juga kami memang berkawan. Selalunya saya berduet dengan penyanyi lelaki, kali ini dengan ‘girlfriend’ pula,” ujarnya.

Setakat ini sudah 70 peratus tiket yang terjual dan kesemua pembeli tiket akan mendapat e-mel tentang perubahan tarikh dan lokasi hari ini dan diberi masa tujuh hari sekiranya mahu wang dikembalikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast