JOHOR BAHRU – Mayat seorang lelaki yang hilang semalam ditemukan di kawasan hutan berhampiran Jalan Sutera, Taman Perling di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II Amimuzamam Aini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 1.28 awal pagi tadi.
“Susulan itu seramai lapan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), tiga unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dan sebuah pacuan empat roda dikejarkan ke lokasi pukul 1.42 pagi.
“Berdasarkan maklumat anggota polis di lokasi, mangsa, Tay Aun Yen berusia 37 tahun dikhuatiri hilang di kawasan hutan berhampiran Jalan Sutera, Taman Perling,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, anggota bomba melaksanakan pemantauan awal di kawasan kejadian bagi menilai keadaan dan risiko.
“Operasi pencarian tidak dapat dilaksanakan pada waktu malam berikutan faktor pencahayaan yang terhad dan keadaan persekitaran yang tidak selamat,” katanya.
Katanya, mangsa didapati hilang dari Pangsapuri Riverria Condavilla di Taman Tampoi Utama pada pukul 6 petang semalam.
Menurutnya, berdasarkan maklumat, ibu mangsa menemukan kesan darah di bilik mandi dan bilik mangsa sebelum mendapati anaknya itu hilang.
“Keluarga juga membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan mangsa. Kemudian sebuah kenderaan didakwa milik mangsa jenis Volvo xc40 ditemukan di lokasi berhampiran belukar berkenaan.
“Ketika operasi dijalankan dua pasukan pencarian yang terdiri daripada enam anggota bomba dan empat anggota polis dibentuk,” ujarnya.
Menurutnya, pencarian dilaksanakan dari simpang lokasi kenderaan milik mangsa ditemukan hingga ke Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sutera dan kawasan sekitarnya.
Mayat katanya, ditemukan berhampiran sebuah pokok kira-kira 30 meter dari kenderaan miliknya sebelum membawa keluar mangsa serta menyerahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.
Tambah beliau, operasi mencari dan menyelamat mangsa selesai pukul 11.08 pagi.- MalaysiaGazette
















