Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Penggunaan gari terhadap suspek perlu diperjelaskan menerusi satu prosedur operasi standard (SOP) yang lebih seragam bagi mengelakkan persepsi layanan berbeza atau dwistandard dalam kalangan masyarakat.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, keputusan sama ada seseorang suspek perlu digari atau tidak ketika ditahan ketika ini bergantung kepada budi bicara pegawai polis yang mengendalikan tangkapan tersebut.

Beliau berkata, penggunaan gari bukanlah satu keperluan yang ditetapkan secara khusus dalam undang-undang bagi setiap tangkapan, sebaliknya ia diputuskan berdasarkan situasi dan tahap kerjasama yang diberikan oleh suspek.

Bekas Ketua Polis Negara merangkap Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan berucap ketika merasmikan Majlis Pelancaran MCCC Selangor di Tropicana Golf & Country Resort, Petaling Jaya, malam pada Khamis.

“Gari ini adalah budi bicara. Tiada dalam undang-undang yang mewajibkan setiap suspek digari. Biasanya seseorang itu akan digari sekiranya dia bersikap ganas atau tidak memberikan kerjasama kepada pihak polis.

“Namun jika suspek memberi kerjasama sepenuhnya, kebiasaannya polis tidak akan menggari individu tersebut,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di sini, semalam.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Pelancaran MCCC Selangor di Tropicana Golf & Country Resort, di sini, malam tadi.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay menafikan wujud unsur dwistandard dalam tindakan penguatkuasaan terhadap dua kes kemalangan maut membabitkan pemandu warga emas yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Ayob Khan berkata, setiap tindakan yang diambil adalah berdasarkan pertimbangan kes demi kes termasuk faktor kesihatan, usia serta keperluan rawatan suspek.

Beliau berkata demikian susulan pertikaian di media sosial berhubung tindakan diambil polis bagi dua kes kemalangan maut melibatkan seorang pemandu van didakwa memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian murid Tahun Dua dan juga pemandu Proton X70 yang merempuh penunggang motosikal hingga maut, tetapi dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan.

Dalam pada itu, Musa bagaimanapun mengakui amalan berbeza-beza dalam penggunaan gari boleh menimbulkan persoalan dalam kalangan orang ramai apabila terdapat suspek yang digari, manakala ada yang tidak dikenakan tindakan sama.

“Apabila ada seorang suspek digari dan seorang lagi tidak, masyarakat akan mempersoalkan sama ada wujud layanan berbeza.

“Sebab itu saya melihat perlunya SOP tertentu yang boleh dijadikan panduan kepada anggota polis.

“Ia bergantung kepada arahan dan ketetapan pihak atasan supaya amalan yang digunakan lebih konsisten dan difahami masyarakat,” katanya.

Musa menegaskan, pematuhan kepada SOP dalam setiap tindakan penguatkuasaan merupakan elemen penting bagi memastikan integriti pasukan polis terus terpelihara serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem penguatkuasaan undang-undang negara.

“Dengan mematuhi SOP, setiap siasatan dapat dijalankan dengan lebih teratur dan profesional.

“Ia juga membantu mengelakkan penyalahgunaan maklumat, kebocoran maklumat siasatan serta sebarang bentuk salah laku yang boleh menjejaskan kredibiliti pasukan,” katanya.

Beliau turut menyifatkan langkah reformasi PDRM yang dilaksanakan Kerajaan Madani sebagai perkembangan positif dalam usaha memperkukuh kecekapan pasukan keselamatan negara.

“Penggunaan teknologi seperti kamera badan merupakan satu langkah yang baik kerana ia boleh menjadi bukti kepada setiap tindakan diambil oleh anggota di lapangan.

“Bagaimanapun, teknologi sahaja tidak mencukupi. Ia perlu disokong dengan tahap profesionalisme yang tinggi serta pematuhan berterusan terhadap SOP yang ditetapkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast