Wee Ka Siong
Datuk Seri Dr Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya memberikan penjelasan segera berhubung status projek Sistem Transit Aliran Autonomi Bertingkat (e-ART) di Johor, termasuk tarikh perjanjian kerjasama awam-swasta (PPP) ditandatangani, bila pembinaan dimulakan dan bila sistem itu akan mula beroperasi.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang membuat gesaan itu berkata, keperluan pelaksanaan e-ART di Johor semakin mendesak memandangkan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura dijangka mula beroperasi dalam tempoh kira-kira enam bulan lagi dan berupaya membawa sehingga 10,000 penumpang sejam.

Katanya, situasi itu berisiko menyebabkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar Johor Bahru menjadi lebih buruk sekiranya sistem pengangkutan awam sokongan seperti e-ART tidak dilaksanakan dalam tempoh yang sewajarnya.

“Bahagian paling pelik dalam kenyataan kamu ialah apabila kamu berkata, ‘Lebih penting, Johor sudah mempunyai RTS yang sedang dalam pembinaan dan hampir siap’.

“Sebab utama Johor perlukan e-ART ialah kerana RTS sudah hampir siap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ka Siong berkata demikian sebagai mengulas kenyataan yang mempertahankan pemberian projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang dan pada masa sama menyentuh mengenai status projek e-ART di Johor.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak pernah mempertikaikan hak Pulau Pinang untuk memiliki sistem pengangkutan awam yang moden dan lengkap, sebaliknya hanya mahu keperluan Johor diberikan perhatian serta keutamaan yang sama oleh Kerajaan Persekutuan.

Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan kelewatan pelaksanaan projek e-ART dan mendakwa projek berkenaan kini berada di bawah seliaan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Ka Siong meminta kerajaan menjawab tiga persoalan utama berkaitan projek tersebut iaitu tarikh perjanjian PPP akan dimeterai, tarikh pembinaan bermula dan jangkaan tarikh operasi e-ART.

Beliau turut berpendapat bahawa cadangan supaya Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan RM10 bilion kepada Kerajaan Negeri Johor untuk melaksanakan projek itu sendiri adalah wajar sekiranya masih terdapat ketidakpastian mengenai tahap kesegeraan dan status sebenar pelaksanaannya.

“Kalau kamu benar-benar anak Johor, berdirilah bersama saya untuk menuntut perkara ini demi Johor.

“Jangan nafikan hak Johor semata-mata kerana kamu mahu mempertahankan bos parti kamu,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast