GEORGE TOWN – Badan amal One Hope Charity & Welfare menyumbangkan 30 kerusi roda baharu kepada Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi membantu mengatasi kekurangan kemudahan berkenaan di hospital itu.
Majlis penyerahan sumbangan itu disempurnakan Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau kepada Pengarah Hospital Pulau Pinang, Dr Goh Hin Kwang, baru-baru ini.
Sui Hau dalam kenyataan berkata, hospital merupakan institusi penting yang memberikan perkhidmatan kepada masyarakat, manakala kerusi roda adalah antara peralatan bantuan yang amat diperlukan pesakit ketika menerima rawatan.
“Kami berharap sumbangan ini dapat membantu meningkatkan mutu perkhidmatan hospital, memberikan keselesaan kepada pesakit dan pada masa sama mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh institusi kesihatan dari segi penyediaan kemudahan.
“Terdapat keluarga yang tidak mampu membeli kerusi roda untuk kegunaan pesakit atas faktor kewangan.
“Justeru, kita mengambil inisiatif menyediakan 360 unit kerusi roda yang sebahagiannya akan disalurkan melalui pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada individu yang memerlukan supaya lebih ramai golongan kurang berkemampuan dapat menerima bantuan dengan segera,” katanya hari ini.
Menurut beliau, kerusi roda berkenaan akan diagihkan kepada hospital kerajaan, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) serta pusat khidmat ADUN di Pulau Pinang dan Kedah mengikut keperluan semasa.
Beliau berkata, selain bantuan perubatan dan kebajikan, yayasan itu turut komited membantu meningkatkan kemudahan perkhidmatan kesihatan awam demi manfaat masyarakat.
“Semoga sumbangan kecil ini dapat memberi manfaat yang besar kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Difahamkan, sebahagian kerusi roda sedia ada di HPP mengalami kerosakan akibat penggunaan kerap dalam tempoh yang lama termasuk tayar tertanggal, komponen usang dan pelbagai kerosakan lain.
Pada masa sama, permintaan tinggi daripada pesakit serta ahli keluarga setiap hari menyebabkan jumlah kerusi roda yang ada sering tidak mencukupi sehingga menjejaskan pergerakan pesakit di dalam hospital. – MalaysiaGazette















