KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang bekerja sebagai penghantar barang bagi membantu siasatan kes kecurian dompet di sebuah pasaraya besar di Semenyih selepas rakaman video kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, suspek ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada pukul 1 pagi semalam dan kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada Rabu lalu kira-kira pukul 9.37 malam.
“Siasatan awal mendapati kejadian kecurian dompet tersebut dipercayai berlaku sekitar pukul 3 petang di kawasan CLC Hypermarket, Semenyih.
“Susulan kejadian itu, polis turut mengesan satu rakaman video berdurasi tujuh minit 11 saat yang tular di aplikasi TikTok dan dipercayai dirakam selepas kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau sebarang aktiviti jenayah diminta menghubungi talian kecemasan NG MERS 999 atau Pusat Kawalan Polis Daerah Kajang di talian 03-89114243 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















