JOHOR BAHRU – Senarai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan setakat ini sudah 99 peratus muktamad.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, PKR akan bertanding di 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor manakala PRN Negeri Sembilan pula 16 kerusi.
“Tunggu pengumuman rasmi akan dibuat dalam tempoh beberapa hari lagi. Kita akan menampilkan gandingan seimbang antara muka lama dan baharu, serta mengekalkan keterwakilan wanita dan anak muda.
“Mengenai peratusan muka baharu, tunggu hari pengumuman nanti,” katanya mengulas mengenai senarai calon PKR untuk PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas sesi walkabout Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di Pasar Raya Econsave Taman Daya di sini hari ini.
PRN Johor dijadualkan berlangsung pada 11 Julai, dengan undi awal dilaksana pada 7 Julai manakala 27 Jun ditetapkan sebagai tarikh penamaan calon.
Sementara itu, menyentuh mengenai status tindakan terhadap Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang sebelum ini mencabar PKR memecatnya susulan siasatan disiplin, Fuziah berkata, perkara itu kini telah diserahkan kepada Lembaga Disiplin parti untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette
















