Mangsa berjaya menyelamatkan diri sebelum ketibaan pihak bomba.

GEORGE TOWN – Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun berjaya menyelamatkan diri selepas rumah teres dua tingkat yang didiaminya terbakar dalam kejadian di Kampung Kastam, Gelugor di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah hari itu, mangsa yang mengalami kecederaan ringan berjaya keluar dari kediaman berkenaan sebelum pasukan bomba tiba.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.12 tengah hari sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak ke lokasi.

“Sebaik tiba, kita dapati kebakaran melibatkan sebuah rumah teres dua tingkat jenis kekal berkeluasan kira-kira 60 x 40 kaki persegi dan dianggarkan musnah sebanyak 70 peratus.

“Maklumat awal mendapati terdapat seorang mangsa namun berjaya keluar sebelum ketibaan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian.

“Komander Operasi kemudian membuat penilaian sebelum mengarahkan anggota menjalankan kerja pemadaman secara ofensif dan defensif,” katanya hari ini.

Tambah beliau, kebakaran berjaya dipadamkan pada jam 1.16 tengah hari dan operasi diteruskan dengan kerja-kerja pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan.

“Operasi yang melibatkan 20 anggota termasuk penyelia tamat pada jam 1.51 tengah hari sebelum kes diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran untuk siasatan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast