KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Batu tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya ada pihak lain mengambil kredit terhadap pelaksanaan Program Lestari Niaga selagi mana ia memberi manfaat kepada para penjaja dan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan khususnya di Parlimen Batu.
Ketuanya, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, ketidakhadiran beliau dalam sidang media mengenai program itu bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh di UTC Sentul hari ini menimbulkan persoalan.
“Ramai yang bertanya dengan saya ketidakhadiran saya di majlis tersebut walaupun sejujurnya pada awalnya tiada dalam senarai jemputan tetapi saya dijemput juga pada saat akhir.
“Tiada masalah tanpa kehadiran saya walaupun saya terbabit dalam beberapa sesi libat urus dengan DBKL dan penjaja-penjaja.
“Jika Menteri Wilayah Persekutuan, Ahli Parlimen Batu atau Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Batu nak ‘claim kredit semua’ pun saya tiada masalah.
“Yang penting urusan program Lestari Niaga berjalan dengan baik dan secara harmoni demi kebaikan penjaja dan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan, khususnya Parlimen Batu,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, perobohan struktur penjaja di Jalan 3/48A berhadapan UTC Sentul tular di media sosial hingga timbul dakwaan kononnya ramai peniaga kecil ditindas pihak berkuasa tempatan (PBT).
Keadaan itu memaksa Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) bertindak turun padang untuk meninjau kawasan pembangunan semula kawasan penjaja di UTC Sentul hari ini.
Dalam pada itu, Gulam mendedahkan penglibatan beliau dalam program tersebut atas kapasiti sebagai pemimpin tempatan di Parlimen Batu selepas diminta secara peribadi oleh pihak DBKL untuk memberikan pandangan dan membantu dalam sesi libat urus bersama penjaja yang terlibat.
“Walaupun tidak pernah dipanggil secara rasmi oleh pejabat Menteri Wilayah Persekutuan atau Ahli Parlimen Batu untuk berbincang, saya memahami realiti politik semasa dan menganggap ia sebagai sesuatu yang biasa,” katanya.
Dalam masa sama, Gulam Muszaffar turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur kerana mengambil kira beberapa cadangan yang dikemukakannya bagi menjaga kebajikan para penjaja yang terjejas sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
“Antara cadangan saya yang diketengahkan termasuk pemberian pampasan bulanan sebanyak RM1,500 selama tiga bulan kepada penjaja terlibat, berbanding tuntutan asal sebanyak RM3,000 sebulan,” katanya.
Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya tempoh pelaksanaan projek dipendekkan dari enam bulan kepada tiga bulan serta mengekalkan lokasi perniagaan di tapak asal bagi memastikan status quo dan sumber pendapatan penjaja tidak terjejas.
“Ini merupakan janji dan ikrar saya kepada Datuk Bandar, Pengarah Jabatan Penjaja dan pegawai-pegawai DBKL ketika mereka memohon penglibatan serta pandangan saya dalam urusan Program Lestari Niaga.
“Selagi diperlukan, saya akan terus membantu DBKL dalam sesi libat urus bersama penjaja atas kapasiti Ketua UMNO Bahagian Batu demi memastikan kebajikan mereka terus terbela,” katanya.
Beliau turut memaklumkan beberapa rakaman video sesi libat urus yang diadakan di UTC Sentul, Taman Dato Senu, Batu Muda dan beberapa lokasi lain di Parlimen Batu akan dikongsikan sebagai bukti penglibatan berterusannya dalam menjayakan program tersebut.
“Program Lestari Niaga merupakan inisiatif yang bertujuan menambah baik kemudahan dan persekitaran perniagaan penjaja.
“Ia sekali gus memastikan pembangunan bandar dapat dilaksanakan tanpa mengabaikan kepentingan golongan peniaga kecil yang menjadi nadi ekonomi setempat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















