KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menegaskan mana-mana pihak tidak dibenarkan menganjurkan aktiviti atau mesyuarat menggunakan nama gabungan itu tanpa keizinan Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Penegasan itu dibuat Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan susulan pengesahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) terhadap pelantikan kepimpinan baharu gabungan berkenaan.
Menurut beliau, ROS menerusi surat rasmi bertarikh 19 Jun 2026 telah mengesahkan penerimaan Minit Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN bertarikh 22 Februari lalu yang merekodkan peletakan jawatan Pengerusi PN sebelum ini dan pelantikan pengerusi baharu.
“Mengesahkan penerimaan Minit Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi Perikatan Nasional bertarikh 22 Februari 2026 dan mengambil maklum mengenai kelulusan Majlis Tertinggi terhadap peletakan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional dan pelantikan Pengerusi Baharu Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Takiyuddin berkata, ROS turut mengesahkan penerimaan salinan Minit Mesyuarat Majlis Tertinggi PN Bilangan 1 Tahun 2026 bertarikh 14 Mac lalu berserta senarai kepimpinan dan pelantikan ahli jawatankuasa baharu gabungan tersebut untuk direkodkan.
“Mengesahkan penerimaan salinan Minit Mesyuarat Majlis Tertinggi (Bil. 1 2026) bertarikh 14 Mac 2026 dan senarai kepimpinan serta pelantikan ahli jawatankuasa Majlis Tertinggi Perikatan Nasional baharu, untuk direkodkan oleh pihak ROS,” katanya.
Beliau berkata, PN akan terus memastikan semua urusan pentadbiran dan pengurusan parti dilaksanakan mengikut perlembagaan parti serta mematuhi Akta 832.
Pada masa sama, Takiyuddin memberi peringatan bahawa sebarang aktiviti atau mesyuarat yang menggunakan nama PN perlu mendapat kelulusan daripada kepimpinan tertinggi gabungan itu.
“Justeru, adalah dipertegaskan bahawa sebarang aktiviti mahupun mesyuarat yang menggunakan nama Perikatan Nasional tidak boleh dilaksanakan melainkan dengan keizinan Pengerusi Perikatan Nasional, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar,” katanya.
Penegasan itu dilihat mengukuhkan kedudukan Ahmad Samsuri sebagai pemegang autoriti tertinggi dalam PN, selain memberi isyarat bahawa sebarang gerakan atau pertemuan yang menggunakan nama gabungan tersebut tanpa kebenaran rasmi tidak diiktiraf oleh kepimpinan parti.
Terdahulu, satu hantaran yang tular kepada pengamal media mendakwa satu mesyuarat MT PN akan diadakan di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai perkembangan terbaharu dalam gabungan pembangkang itu.
Mesyuarat itu didakwa akan dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). – MalaysiaGazette
















