SEBERANG JAYA – Kementerian Komunikasi tidak akan menyokong sebarang usaha menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menggantikan peranan wartawan dalam penghasilan berita, kata Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil.
Jelas beliau, pendirian itu termasuk tidak menyokong cadangan sebuah entiti yang memohon menggunakan Dana Inovasi Media bagi membangunkan aplikasi AI yang mampu menghasilkan berita secara automatik tanpa penglibatan wartawan.
“Aplikasi berkenaan dicadangkan untuk mengolah kenyataan yang diterbitkan kementerian atau mana-mana pihak sebelum menghasilkan berita secara terus.
“Tuan-tuan, puan-puan nak tahu apa jawapan saya? Almost, almost get out (saya minta mereka keluar) tetapi tidaklah saya bercakap kasar.
“Saya tak nak layan aplikasi macam ini dan saya kata, saya tak boleh sokong usaha macam ini,” katanya ketika berucap pada Program Pemukiman Media Malaysia 2.0 bersama Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) di sebuah hotel di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Fahmi berkata, wartawan memainkan peranan yang tidak boleh digantikan oleh AI kerana tugas mereka bukan sekadar menulis berita, sebaliknya menjadi saksi kepada sesuatu peristiwa serta mengumpul maklumat daripada sumber primer.
“Untuk saya, wartawan itu sangat-sangat penting. Tidak boleh ganti tugas wartawan dengan AI sebab fungsi wartawan adalah menjadi saksi, mengumpul maklumat, sumber primer dan berdasarkan disiplin, pengalaman serta keupayaan, mengolah dan menjadikan berita.
“Jadi itulah komitmen saya dan Kementerian Komunikasi untuk jamin pekerjaan bagi para wartawan dapat kita kekalkan.
“Tanpa wartawan, bagi saya dan bagi pihak kementerian, tanpa wartawan, tidak ada berita,” katanya. – MalaysiaGazette
















