KLANG – Parti Wawasan Negara (Wawasan) menyasarkan untuk menghimpunkan seramai 150,000 penyokong pelbagai kaum dalam satu program mega yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Oktober depan.
Pengerusi Wawasan Selangor, Sathiyan Gopal berkata, program berkenaan bakal menjadi bukti kekuatan akar umbi parti itu yang menurutnya semakin berkembang di seluruh negara.
“Wawasan mempunyai sokongan besar dalam kalangan masyarakat Melayu, Cina dan India serta rangkaian pertubuhan yang bekerjasama dengan parti berkenaan.
“Jika ada pihak (Bersatu) mendakwa mereka mempunyai 30,000 penyokong, kami bersedia membuktikan bahawa kekuatan kami jauh lebih besar.
“Program Oktober nanti akan menunjukkan sokongan sebenar terhadap perjuangan Wawasan,” katanya pada sidang media di Pejabat Penyelaras Wawasan Selangor di Pekan Meru, di sini, hari ini.

Menurut Sathiyan, perhimpunan tersebut akan menjadi platform memperkenalkan secara lebih meluas agenda politik parti itu di bawah kepimpinan presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Wawasan mempunyai jaringan keahlian dan penyokong yang semakin berkembang menerusi kerjasama dengan pelbagai pertubuhan masyarakat dan sukan di seluruh negara,” katanya.
Katanya, penyertaan pelbagai kaum dalam program tersebut akan menjadi manifestasi kepada pendekatan politik inklusif yang ingin dibawa oleh Wawasan.
“Matlamat kami adalah membina satu platform yang menyatukan semua rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang.
“Program berkenaan kini dalam peringkat perancangan dan dijangka menjadi antara himpunan terbesar melibatkan penyokong parti itu setakat ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















