Dinie Hanis Noor Azlan Efenddy, 23, meninggal dunia bersama adiknya, Dinie Nasuha Noor Azlan Efenddy, 19, maut dalam kemalangan ketika dalam perjalanan dari rumah mereka di Sungai Gau ke Bandar Tun Abdul Razak Jengka untuk berniaga mochi dan minuman Vietnam Gold di Dataran Jam pada semalam dan jenazah kedua beradik itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad, hari ini

MARAN – Tiga hari lalu, Dinie Hanis Noor Azlan Efenddy berdiri lama di hadapan rumah sambil memeluk dan merenung busana putih yang bakal dipakainya sebagai pengantin sambil bergenang air mata.

Tiada siapa menyangka tangisan itu rupa-rupanya menjadi petanda perpisahan terakhir sebelum gadis berusia 23 tahun itu pergi selamanya hanya tujuh hari sebelum hari bahagianya.

Dalam tragedi menyayat hati petang semalam, Allahyarham Dinie Hanis maut bersama adiknya, Allahyarham Dinie Nasuha Noor Azlan Efenddy, 19, selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Sungai Gau berhampiran Batu 6 di sini.

Tunangnya, Muhammad Alif Iskandar Azhar, 24, berkata, sehingga kini beliau masih tidak dapat melupakan detik terakhir bersama wanita yang bakal menjadi suri hidupnya itu.

“Tiga hari lalu kami pergi mencuba pakaian pengantin untuk majlis nanti. Arwah sangat gembira. Walaupun warna kegemarannya merah jambu, dia memilih gaun berwarna putih.

“Sebelum saya balik ke Kuala Lumpur untuk bertugas, saya hantar dia pulang ke rumah. Saya nampak dia berdiri lama sambil memandang ke arah saya.

“Dia kemudian merenung pakaian pengantin itu dan menangis. Saya ingatkan dia sedih sebab kami akan berjauhan beberapa hari sebelum nikah. Rupa-rupanya itulah kali terakhir saya melihatnya,” katanya  sebak.

Lebih memilukan, segala persiapan perkahwinan yang dijadualkan berlangsung pada 26 Jun ini sudah siap sepenuhnya.

Menurut Alif Iskandar, kad jemputan telah diedarkan, dewan telah ditempah dan pakaian pengantin sudah ada dan hanya menghitung hari menyulam cinta mereka.

Namun perlu akur serapi mana rancangan manusia, takdir Allah mengatasi segala perancangan manusia.

Mengimbau kembali, detik perkenalan mereka sejak tahun 2019 kemudian mengikat tali pertunangan lapan bulan lalu sebelum merancang mendirikan rumah tangga minggu depan.

Bagaimanapun takdir Allah penentu segalanya  apabila impian yang dibina selama bertahun-tahun itu hanya tinggal dan sejarah yang perlu diterima dengan mengharungi ujian itu.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Wan Mohd. Syafik Wan Abdul, 32, berkata, beliau bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam yang menemui kad jemputan perkahwinan mangsa di tempat kejadian.

“Hujan sangat lebat ketika itu. Bila saya sampai dan mengetahui mangsa adalah anak saudara sendiri, saya terus terduduk. Beberapa jam sebelum kejadian, kami masih berbincang mengenai persiapan majlis perkahwinannya,” katanya.

Pemergian dua beradik itu mengejutkan keluarga, saudara-mara dan penduduk kampung yang mengenali mereka sebagai anak yang rajin berniaga, ringan tulang dan sentiasa menghormati orang tua.

Busana putih yang sepatutnya dipakai untuk melangkah ke alam perkahwinan kini tinggal kenangan kerana tiada lagi senyuman di pelamin dan tiada lafaz akad yang dinanti.

Semalam, Dinie Hanis Noor Azlan Efenddy, 23, meninggal dunia bersama adiknya, Dinie Nasuha Noor Azlan Efenddy, 19, ketika dalam perjalanan dari rumah mereka di Sungai Gau ke Bandar Tun Abdul Razak Jengka untuk berniaga mochi dan minuman Vietnam Gold di Dataran Jam.

Semalam dua adik perempuan itu maut dalam dalam kemalangan tragis membabitkan dua kenderaan di Kilometer 24, Jalan Temerloh–Bandar Jengka gara-gara cubaan memotong sebuah motosikal gagal dalam insiden kira-kira pukul 7.25 malam tadi.

Ketua Polis Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, kedua-dua mangsa maut di lokasi nahas akibat kecederaan parah dalam kemalangan melibatkan kenderaan Toyota Unser dan sebuah Perodua Axia.

Manakala seorang lagi mangsa yang merupakan pemandu Perodua Axia mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh untuk menerima rawatan

Jenazah mereka dituntut keluarga di Hospital Jengka selepas dibedah siasat dan selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Sungai Gau dekat Temerloh hari ini.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Dua beradik perempuan maut selepas gagal memotong motosikal

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast