Yusri Malik

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Titiwangsa menyokong tuntutan penduduk Kampung Datuk Keramat agar status tanah pegangan pajak di kawasan tersebut ditukar kepada pegangan kekal atau satu bentuk pemilikan yang dapat menjamin hak penduduk untuk generasi akan datang.

Ketuanya, Yusri Malik berkata, sebagai antara komuniti Melayu bandar yang bersejarah di Kuala Lumpur, penduduk Datuk Keramat berhak mendapat kepastian terhadap masa depan tanah yang mereka diami.

Menurutnya, walaupun pelbagai program pembangunan dan inisiatif kerajaan dilaksanakan di kawasan ini, isu utama yang terus dibangkitkan oleh penduduk ialah jaminan hak milik tanah.

“Selagi perkara ini tidak diselesaikan, kebimbangan terhadap masa depan komuniti, warisan dan identiti Datuk Keramat akan terus berlarutan.

“Penduduk memerlukan kepastian bahawa hak mereka terhadap tanah yang telah didiami sejak turun-temurun akan terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, MUDA Titiwangsa berpandangan, kerajaan perlu menyatakan pendirian secara terbuka dan mengemukakan pelan tindakan yang jelas berhubung cadangan penukaran status tanah tersebut.

Ia kerana penduduk berhak mengetahui kedudukan sebenar perkara ini, proses yang perlu dilalui serta tempoh masa pelaksanaannya.

“Kami menegaskan sebarang keputusan berkaitan status tanah mestilah mengutamakan kepentingan penduduk setempat serta memastikan identiti dan pegangan komuniti asal terus dipelihara. Pembangunan yang dirancang tidak seharusnya mengorbankan hak dan masa depan komuniti yang telah lama menjadi sebahagian daripada sejarah Kuala Lumpur,” tambahnya.

Sehubungan itu, MUDA Titiwangsa menyeru Kerajaan Persekutuan, Jabatan Wilayah Persekutuan dan agensi berkaitan untuk memulakan libat urus yang telus bersama penduduk serta mengemukakan penyelesaian yang konkrit dalam masa terdekat.

Katanya, penduduk Datuk Keramat tidak memerlukan janji baharu, mereka memerlukan jaminan yang jelas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast